Jumaat, 12 Disember 2008

Allahuakbar!

Semasa hari raya Qurban yang lepas, saya merayakan bersama ahli qariah di taman saya sahaja dan tidak pulang ke kampong. Masjid di tempat saya nih-Masjid Salahuddin Al-Ayubi (taman melati) memang sentiasa penuh dengan jemaah. Jika tuan-tuan pergi utk solat subuh pun paling tidak 4 saf mesti ada. Tapi yang meramaikan bukanlah jemaah dari Malaysia tapi dari Afrika, kerana ramai sungguh bangsa mereka ini di sini..Alhamdulillah, Malaysia memang bumi bertuah!

Apa yang membuat saya terharu ialah apabila semua jemaah bertakbir, bertahmid dan berzikir bersama, dari lepas subuh hinggalah solat sunat AidilAdha..sebenarnya saya nak angkat punggung dah bila lepas solat subuh, tapi dek kerana hujan yang mencurah-curah di luar maka pagi raya itu, maka saya hanya berkain pelekat petak2 dan t-shirt oren sahaja pagi raya itu(walaupun baju raya dah seterika).

Ketika bertakbir itulah saya insaf bahawa betapa KECILnya Allah dalam hati kita(saya) selama ini. Cubalah kita sama-sama renungkan, setiap kali azan berkumandang, tidak pula kita bergopoh-gapah pergi ke masjid untuk solat berjemaah, atau jika sedang menonton tv maka Allah boleh saja kita ketepikan dengan alasan cerita di tv lagi best, atau semasa solat kita sering terfikir benda lain, fikiran melayang entah kemana, bilangan rakaat pun boleh terlupa dan semua ini berlaku setelah kita melafazkan ‘ALLAHUAKBAR’ pada awalnya solat kita.

Beberapa tahun yang lepas, saya pernah bertanya seorang paderi kenapa beliau bersungguh pindah dari Negara asalnya dan menetap disini serta mengorbankan semua harta benda beliau demi membangunkan chapel(church) beliau di sini.beliau menjawab, dengan nada tenang tapi tegas

“ All the thing i did, all the sacrifice I’ve made is for the love of Mighty Jesus!!”

Saya cukup terperanjat sebenarnya bila mendengar kata-kata itu. Alangkah besarnya Jesus dalam hati beliau, sehingga apa sahaja yg beliau ada telah dikorbankan untuk ‘tuhan’ beliau, tetapi kita- orang Islam, hanya diminta untuk berzakat, seribu dalihnya, bila diminta untuk bersolat jemaah di masjid , berjuta pula alasannya, bila diminta untuk berpesan2 kepada kebaikan dan kebenaran, berbilion lagi alasannya..oh, saya katakan ini telah terkena pada batang hidung sendiri sebenarnya. Mulut saya yang bercakap, telinga sayalah yg paling hampir mendengarnya, tangan saya menulis, mata sayalah yg paling hampir melihatnya..

Saya kecewa melihatkan sesetengah dari kita beriya-iya benar ingin menubuhkan Negara Islam, sehingga apa sahaja cara, yang baik-yang tak baik, yang halal-yang haram, yang sunnah-yang bida’ah, semua nya digunakan dan boleh pula digunapakai demi menegakkan pemerintahan Islam di Malaysia. Kita seolah diajar untuk membangunkan sebanyak masjid yang boleh, malangnya kita tak diajar, dididik, diseru untuk meramaikan jemaah di dalam masjid. Akibatnya masjid yang besar2 itu kosong, hanya ada beberapa kerat org tua yg dh separuh uzur memenuhinya, manakala org2 muda pula nyenyak tidur akibat keletihan malam tadi mendengar ceramah sambil memaki hamun dan diselitkan dengan kalimah Takbir!

Kecilnya Allah dalam hati kita…bila bertakbir- ALLAHUAKBAR- tidak pula bergentar hati, tidak pula tersentap hati, tidak pula terbayang MATI, kerana malangnya fikir kita semua adalah fikiran orang munafik belaka. Kita menyangka, dengan solat di rumah, sama sahaja dengan solat di masjid, dan solat dimasjid itu hanyalah sunat sahaja. Kita(saya sebenarnya) sering menganggap bahawa orang lain akan memenuhkan masjid untuk solat 5 waktu, tetapi hakikatnya SEMUA orang berfikir bagaimana kita fikir, akibatnya masjid hanya tinggal kenangan dalam memori orang Islam, dan menjadi seperti Rumah Kenangan, kerana yg hadir veteran2 belaka. Inilah fikir orang munafik sebenarnya, apabila Abdullah Ubay dan golongannya diseru untuk berjihad, mereka memberi alas an tidak mahukan Ghanimah, bila di seru untuk solat jemaah di masjid, dikatanya hanya sunat sahaja. Tetapi, tuan2, tahukah semua, bahawa Rasulullah tidak pernah tinggal solat jemaah di masjid? Ia bukan sunat, tetapi sunnah! Solat itu wajib, tetapi cara solat itu wajib mengikut sunnah..Sunat-ditinggal kan rugi,tak dapat pahala, Sunnah – ditinggal akan rugi sebab Nabi tak mengaku umat! Besar perbezaan bukan?

Kalimah Allahuakbar telah menjadi mainan dibibir manusia tanpa mereka menunaikan hak disebalik kalimah itu. Sambil memaki-maki hamun, sambil mencerca pemimpin, sambil mencarut-marut, sambil menghina saudara Islam mereka, sambil melaungkan akan menegakkan Negara Islam, mereka selitkan dengan kalimah yang digunakan oleh malaikat Zabaniah semasa ingin memikul Arasy. Mereka (dan saya) hanya menjadi burung kakak tua yang berkata-kata tetapi tidak mengerti apa yang dikatakan. Saya insaf dan sedar bahawa apa yang saya tulis mungkin mengguris hati sebahagian sahabat saya yg berfahaman politik sedemikian, namun ketahuilah, saya tidak menghina atau menghentam saudara sekalian, saya menulis atas kesedaran saya dan atas kelemahan saya sendiri. Jika tidak benar perkara ini, maka marilah kita sama-sama membesarkan Allah di hati, bukan mencerca, bukan memaki atas sebab kecilnya Allah di hati mereka.

Kecilnya Allah dalam hati kita..sehingga kita menjadi kikir dan kedekut masa dengan Allah yg menjadikan dan mengatur alam. Untuk solat jemaah di masjid pun kita tiada masa. Bagi laki2 yang sudah mencapai akil Baligh, tidak boleh tidak dituntut untuk solat 5 waktu di masjid. Manakala bagi yang perempuan pula boleh solat dirumah. Jika ingin suami solat bersama isteri, maka bolehlah mengerjakan solat sunat bersama2..pelbagai solat sunat boleh dibuat bersama, tahajjud, taubat, tasbih..ini akan mengangkat darjat suami dan mengeratkan perhubungan. Jangan diberi alas an:

“ saya solat dengan isteri dirumah, menjadi imam untuk anak2..bukankah itu baik?”

Saya katakan, tidakkah imam masjid juga ada keluarga?tidakkah bilal masjid juga ada keluarga?habis siapa pula akan pergi ke masjid?jika semua orang-SEMUA orang pun fikir seperti kita, tidakkah kita sama sahaja seperti masyarakat di Bosnia sebelum perang dahulu(rakan saya dari bosnia dahulu beritahu, masjid hampir2 kosong sebelum berlaku perang, semua pakat solat sendiri/x solat langsung!) habis nanti jika kosong masjid2 kita (dah pun berlaku di beberapa tempat) maka adakah kita akan berkata :

“lihatlah orang Islam sekarang, ramai tak pegi masjid..masjid lawa, besar, megah dan cantik tetapi tiada orang..huh, membazir semua ini!”

Janganlah diucap perkara demikian, sedang kita lah sebenarnya yang menambah statistic mereka yang mengosongkan masjid. Kerana KITA lah masjid telah menjadi kosong. Tolonglah tuan2 semua banci, dalam 1 hari berapa ramaikah yang bersolat di masjid, maka tuan2 akan sedar dan tahu, parah atau tidakkah pegangan umat Islam di Malaysia ini.

Betapa BESARnya Allah, sehingga tidak memerlukan kita untuk membesarkan Nya, dan betapa Mulianya Allah, sehingga tidak perlukan kita memuliakanNya..sungguh Allah tidak perlu kepada kita tetapi, kitalah yang amat perlukan Allah. Setiap daun yang gugur di hutan, setiap pasir yang berlaga di lautan, semua adalah atas Kehendak, Kudrat,Izin dan Perintah Allah Ta’ala..ALLAHUAKBAR!

Jumaat, 12 September 2008

Kaum-Kaum Pendatang 2

Saya orang melayu dan amat berterima kasih pada kerajaan kerana membela nasib kami, sehinggalah saya berjaya dalam pelajaran. Mungkin juga ini jasa Umno dan pakatan perikatan. Namun sekali-kali tiada hak kita mengatakan orang lain pendatang, sedang orang itu ada Kad Pengenalan Warganegara Malaysia!

Saya fikir, kita mungkin tidak sedar bahawa sesungguhnya memanglah kita semua ini hanya pendatang sahaja. Dan semua yang kita miliki akan ditinggalkan jua. Seperti lagaknya si pengembara, berehat sebentar di bawah pohon, demi mendapat tenaga untuk meneruskan perjalanan. Begitulah konsep yang saya faham berkenaan kehidupan didalam Islam. Allah menugaskan kita sebagai “Khalifah” - yang bermaksud pentadbir-jika bukan mentadbir negara sekurang-kurangnya diri sendiri dan keluarga. Dan kita juga sebagai “Hamba”- iaitulah hamba Allah, ikut segala perintahnya dan jauhi larangannya. Jika kita khianat pada janji ini, (Shahadah) maka akan dibalas nanti oleh Allah di Akhirat. Selalu di dalam khutbah Jumaat di kampong saya (Kota Tinggi) saya mendengar, khatib(tukang khutbah) berkata :

“Wahai sekalian Muslimin, ingatlah! Dunia ini hanya tempat tumpangan semata-mata, akhirat jualah tempat yang kekal abadi selama-lamanya..”

Seperti juga Temujin/Genghis Khan, apabila ditanya kenapa menjajah tanah yang sangat luas terbentang, sedang mati nanti hanya perlukan tanah yang sedikit untuk menguburkannya, maka beliau tidak menjawab. Kita haruslah sedar, bahawa dunia ini hanya transit untuk ke akhirat. Maka perebutan tentang tanah transit ini amat merugikan dan membuang masa. Jika ia adalah hak kita, contoh, orang ambil hak kita dan niat menjahanamkan kita, maka kita wajib mempertahankannya, walau dengan apa cara sekalipun. Namun kita janganlah melampaui hak yang telah Allah berikan pada kita.

Dengan mudahnya mengatakan sesetengah kaum sebagai pendatang dan mengharap pula mereka mencurahkan usaha pada pembangunan tanah air ini, bukanlah dipandang sebagai orang yang berakhlak. Tanah ini milik pada siapa yang membangunkannya. Lihatlah pada dunia keliling kita- siapa yang berusaha menabur budi pada tanah-maka tanah akan membalas kembali. Siapa yang berusaha- insya-Allah berjaya. Sebab itulah tanah Kota Kiev itu dahulu( milik bangsa Ukraine) diperintah oleh raja dari keturunan Rusia. Dan lihatlah bagaimana Poland satu ketika dahulu dimonopoli oleh orang-orang yahudi, dan lihatlah bagaimana Jerusalem itu dahulu diperintah oleh orang-orang Rom, dan lihatlah bagaimana pula Singapura yang dahulunya tanah orang-orang melayu diperintah oleh orang cina.

Demikianlah contoh yang telah saya berikan. Jumlah yang sedikit belumlah tentu kalah, manakala jumlah yang besar bukanlah ukuran kejayaan. Jika kita –orang-orang melayu tidak memperkasa diri, membangun diri, dan tidak berusaha sendiri -dan bersungguh-sungguh seperti yang diajar oleh Rasulullah S.A.W, maka kita juga akan kalah dan dikuasai oleh orang lain. Tiada salah mereka yang berjaya dalam hal ini. Kita tak boleh sakit hati dengan mereka yang kaya. Bahkan jika mereka boleh kaya dan berjaya membina empayar kenapa kita tak boleh? Seperti yang disebut-punca kegagalan ialah kerana kurangnya impian dan tersangat pula kurangnya usaha.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita bangunkan diri kita. Bermula dengan ilmu dan berusalah dengan tulang 4 kerat demi mengubah nasib kita dan menjadi tuan pada tanah ini. Sudah cukup lama kita menyaksikan orang lain yang menjadi tuan, orang lain yang kaya, orang lain yang pakai kereta mewah, orang lain yang duduk rumah besar, sudah sampai masa kitalah -diri kita sendiri- yang patut menjadi tuan pada tanah ini.

Berusahalah dengan sekuat-kuatnya dan bertawakkal lah pada Allah. Janganlah asyik mengata orang, yang mereka tidak setaraf dengan kita, sedang kita ini pula secara realitinya tiadalah lebih baik dari mereka. Tiadalah mulia dan hebatnya bangsa melayu ini, jika kita tidak bersungguh-sungguh mengubahnya. Kita harus belajar dari mereka yang berjaya dan menjadikan mereka guru kita. Mudah-mudahan, kita akan berjaya seperti mereka juga.

Dan akhirnya, saya berdoa agar bumi Malaysia ini akan sentiasa aman makmur, dan menjadi contoh kepada negara lain, walaupun hidup berbilang suku kaum dan agama. Kerana kita akhirnya, pastilah akan kembali kepada Allah, dan dihitung segala amal-baik dan buruk. Janganlah hendaknya bangsa-bangsa di Malaysia ini terlalu ikutkan hati dan perasaan amarah, kerana yang akan rugi dan binasa, ialah diri kita sendiri..

Kaum-Kaum Pendatang 1

Malaysia, kebelakangan ini sering berlaku perkara-perkara yang menduga kesabaran penduduknya. Dan yang terbaru ialah berkenaan Dato’ Ahmad Ismail. Saya tidak bercadang menulis perkara ini sebenarnya, sebab tak mahu blog ini dikotori dengan picisan politik. Tapi memandangkan beliau telah pun diputus bersalah oleh MT Umno, maka saya akan mengulaslah serba sedikit. Dan perlu diingat, ini hanya pandangan peribadi saya semata-mata.

Siapakah penduduk asal negara ini/tanah ini? Jika ditanya - saya sendiripun tak pasti. Sebabnya tiada sejarah lengkap bertulis yang betul-betul solid yang menceritakan siapa sebenarnya penghuni tanah ini samada sebelum masihi atau awalnya lagi. Namun saya ada juga belajar sikit-sikit dulu(masa kat UIA), berdasarkan beberapa buah buku. Antara contoh, “Suma Oriental” ,“Sejarah Melayu-Tun Sri Lanang”. Dan lagi buku “A’jaibul Hind”(yang ini femes nih) dan juga “Rehlah Ibn Battutah”. Banyak lagi sebenarnya cuma tak berapa solid dan saya pun dah LUPA.Dan kalau nak dasyat lagi adalah buku karangan Prof Arysio Santos-The Last Continent Finally Found, berkenaan bahawa sebenarnya tanah ini adalah milik puak-puak Atlantis yang telah hilang itu!!

Walaubagaimanapun, dari pembelajaran dalam kelas dahulu, kami akhirnya bersetuju bahawa penghuni tanah ini pastilah “orang yang berhijrah” dan menetap serta berasimilasi dengan penduduk asal tanah ini. Yang akhirnya melahirkan rumpun bangsa “Melayu”.

Berbalik pada tajuk asal, jadi siapakah kaum-kaum pendatang ini? Hal ini bermula sejak zaman Melaka menjadi “Venice Timur” lama dahulu. Dan datanglah orang-orang cina dari China, dan orang India dari India, dan orang arab dari Yaman. Dan bergaullah mereka bersama penduduk melayu yang telah pun sedia ada lama sebelum mereka itu di sini. Arakian setelah sekian lamanya- bahkan ada yang sejak zaman Zheng He / Cheng Ho dahulu- maka mereka telah –secara otomatiknya diiktiraf menjadi penghuni tanah air ini. Dan masa saya belajar dahulu, jika atuk kamu orang sini,bapa kamu orang sini,kamu pun duduk sini, maka sinilah kampong kamu, dan tanah air kamu. Dalam erti kata lain – KAMU BUKAN PENDATANG!

Maka apa yang dikatakan oleh DAI(Dato Ahmad Ismail) tidak lah benar mengatakan bahawa orang cina adalah pendatang. Manakala dari segi “hak-hak melayu” pula adalah kerana ada dalam perlembagaan dan bukan secara total – yang bermaksud ia boleh dipinda. Saya susah hati apabila ada orang seperti DAI yang cakap seperti itu dan bermaksud pula melaga-lagakan penduduk Malaysia ini. Jika saya lah PM, dah lama saya persilakan DAI ke penjara.

Kenapa agaknya dicakap hal yang karut ini?dan dari mana pula beliau mendapat ilham supaya berkata demikian dalam bulan Ramadhan-yang dah tentunya Syaitan terikat sekarang ini?

Saya merasakan bahawa beliau berkata demikian mungkin kerana rasa sakit hati dengan sesetengah orang-orang cina, atau mungkin perasaan bahawa tanah air ini telah dimonopoli oleh orang cina dan merasakan melayu tidak selamat. Jika ya, maka bukanlah sepatutnya ia dicakap masa pilihanraya! bukankah lebih baik bersemuka dan bagitau secara terang apa yang tidak puas hati dan cadangkan sekali penyelesaiannya.

Maka semua kekacauan ini pastilah tidak berlaku, dan nama baik melayu tidak kotor, dan lebih-lebih pula nama ISLAM tidak busuk hanya kerana ada penganutnya bersikap seperti mencurah minyak kedalam api..

Ahad, 31 Ogos 2008

Bulan ke-9 dalam kalendar Islam

Ramadhan ialah bulan yang disifatkan Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah RA, sabda baginda “ Apabila tibanya Ramadhan, maka akan dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan.”

Berdasarkan penjelasan Rasulullah SAW ini, bolehlah dikatakan bahawa sesiapa yang mengerjakan kebaikan, amal soleh dan sedekah jariah di bulan ini, maka akan beroleh pula ganjaran pahala yang besar dari Allah. Di Malaysia ini, orang-orang Islam sudah tentu akan dilihat berduyun-duyun pergi ke masjid pada waktu malam untuk menunaikan solat sunat Terawikh. Kebiasaannya masjid akan penuh sesak dengan manusia pada malam sepanjang minggu pertama puasa, dan keadaan akan bertambah reda dan surut dan akhirnya lengang dan sunyi sepi di akhir-akhir Ramadhan. Ini merupakan perkara ‘standard’ yang berlaku di Malaysia!

Setelah saya perhatikan, orang-orang Islam di Malaysia memang kuat pegangan agamanya, namun tiada istiqamah(berterusan mengamalkannya)semasa menjalani sesuatu ibadat khusus- termasuk puasa dan solat. Kita memang wajib berpuasa- bagi yang mampu- dan tiada dolak dalik pula dalam mengerjakannya. Namun kita terlupa barangkali, bahawa ibadat puasa akan menjadi sia-sia jika kita tidak berubah perangai berbanding hari-hari sebelum puasa. Jika kita masih melengahkan solat( bahkan ada yang sengaja tinggalkan solat), masih mengutuk,mengeji,menyebar fitnah, menghina, menimbulkan permusuhan sesama manusia, tidak amanah pada kerja, berkata bohong dan sebagainya – kita sebenarnya tidak mendapat manfaat pun daripada bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Bahkan ia menjadi kutukan dan kejian pula ke atas kita. Yang kita dapat hanya lapar dan dahaga semata. Dan ia memang amat merugikan..

Sewaktu berbuka puasa pula memang kita takkan kalah berbanding dengan orang lain. Juadah berbuka yang melampau banyaknya, air yang berjenis-jenis warna dan rasanya, serta nafsu untuk ‘melantak’ sepuas hati , telah menguasai diri dan pertimbangan, hinggakan asal ada duit di poket maka ia akan kita gunakan untuk membeli makanan, walaupun dah tak cukup tangan nak bawa!. Saya tahu ini kerana saya ialah salah seorang peniaga di pasar Ramadhan( sejak tahun 2004, namun tahun ini tak berniaga-tak dapat tapak!). Kekadang saya rasa ngeri pula tengokkan cara berbelanja orang-orang Islam sewaktu ingin berbuka, seperti esok tidak ada lagi, SUNGGUH!!!

Berpuasa bukan hanya menahan diri dari lapar dan dahaga, namun ianya ialah peluang supaya kita dapat mengubah perangai kita supaya menjadi baik dan dapat pula merasai bagaimanakah perasaan orang miskin yang kelaparan. Kita diajar agar menghargai setiap rezeki yang Allah kurniakan, dan berlaku baik, adil dan tutur kata yang sopan terhadap orang lain. Tetapi kita yang memang pelupa ini terus melupakan ajaran guru-guru, ustaz-ustaz dan ibu bapa kita. Bulan yang mulia dan penuh barakah telah menjadi bulan yang ‘Gila Makanan’, penuh kesusahan dan menjadi celaan kita sendiri.

Akhirnya, marilah sama-sama kita merobah perangai agar menjadi Muslim yang beramal soleh. Marilah kita sambungkan ukhuwah sesama kita dan berbuat baiklah pada orang lain. Jadikanlah diri kita sebagai contoh yang baik kepada semua manusia. Mudah-mudahan kita akan beroleh rahmat Allah…

Khamis, 24 Julai 2008

Kemiskinan Bukan Lesen Untuk diHina

Sudah berabad rasanya saya tak menulis di blog ini. Jangan kata ingin update, nak akses internet pun tiada masa. Kerja saya yang sering keluar daerah memang satu yang memenatkan namun tak boleh dielakkan..yelah, kalau tak bekerja, nak makan apa pula nanti(ini bukan kes ulat dalam batu pun boleh hidup, saya bukan ulat). Oleh yang demikian diharapkan rakan sekalian usah bimbang, kerana saya masih menulis dan tidak bercadang berhenti menulis di blog.

Baru-baru ini saya berpeluang pergi ke satu pejabat yang bertanggungjawab menguruskan mengenai pemberian bantuan kewangan kepada gologan fakir miskin. Sementelahan juga saya terlibat dalam menjalankan program yang dirancang oleh mereka.

Apa yang menarik perhatian saya adalah berkenaan staff yang bertugas disitu(nama dirahsiakan atas dasar aib). Semasa saya datang kesitu atas urusan kerja, saya seolah-olah tidak ada(ghaib). Tiada seorang pun yang menegur saya bahkan lebih teruk tiada yang memandang saya pun!!alahai..terasa benar kehinaan yang ditanggung..sehinggalah saya sendiri yang bertanya kepada mereka, barulah mereka melihat muka saya dan itupun dengan muka yang tak berapa ‘ceria’, ala kadar je..

Setelah saya beritahu mereka yang kehadiran saya adalah berkaitan program yang ingin dilaksanakan, barulah mereka bersungguh-sungguh melayan saya dan mempersilakan saya duduk. Sungguh hairan, kenapa pula tiba-tiba berubah perangai. Tadi buat-buat tak kenal, sekarang pula dilayan baik. Namun akhirnya saya dapat juga jawapannya. Sementara menunggu giliran untuk berjumpa pegawai bertugas, ada beberapa orang yang datang kesitu, dan seperti juga saya pada awalnya, mereka tidak dilayan atau pura-pura tidak kelihatan..dan ternyata mereka yang datang itu adalah golongan yang ingin minta bantuan. Staff bertugas hanya memandang sinis sahaja mereka dan bersikap acuh tak acuh sahaja.

Terperanjat saya, melihatkan begitu teruk penghinaan yang ditanggung oleh mereka. Saya merasa amat marah sehingga terasa mahu memarahi staff itu. Namun saya sabarkan hati dan berusaha membuat ayat nasehat dan teguran yang membina agar boleh diberikan pada staff terbabit. Setelah urusan saya selesai, barulah saya berkesempatan memberi ceramah pada staff itu dan memberitahu beliau, jika inilah perangai nya, maka baik berhenti sahajalah!

Pada pandangan saya, staff itu telah melakukan kesalahan tatatertib dan tidak jujur pada amanah yang telah diberikan padanya. Ini kerana : 1- beliau tidak mengalu-alukan sesiapa pun yang datang ke pejabat itu melainkan setelah dapat tahu siapa mereka sebenarnya. 2- terbit rasa angkuh dan megah atas jawatan yang dipegang. Beliau kira tanpa beliau, si miskin ini pastilah terus melarat dan ini menyebabkan beliau rasa beliau perlu diagungkan!!

Sesungguhnya kita telah berlaku zalim jika tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dalam hal ini, jika yang hadir adalah golongan fakir miskin maka adalah menjadi HAK mereka untuk mendapatkan bantuan yang secukupnya dari pihak terbabit. Mereka bukan golongan kelas bawah atau tiada kelas, Cuma keperluan hidup mereka tidak cukup!

Tiada manusia dilahirkan hina dan tiada sesiapa yang patut rasa mereka lebih mulia dari orang lain hanya bersandarkan kewangan dan harta benda. Dosa besar jika kita merasakan golongan miskin adalah beban yang perlu ditanggung atau ‘biawak’ yang perlu dibela. Tiada sesiapa mahu dilahirkan papa kedana dan tiada siapa tidak mahu hidup senang. Namun dengan menganggap kita lebih baik dari orang lain hanya kerana orang itu miskin adalah satu perasaan keji dan amat hina.

Bolehkah kita membayangkan jika kita mempunyai anak ramai, dan kerja pula tidak cukup makan. Tambah pula isteri tak bekerja dan anak-anak semua sekolah lagi. Satu hari kita kemalangan dan meninggal dunia. Apa akan berlaku pada anak dan isteri kita?kemana mereka mengadu nasib dan hidup? Apakah kita menyangka bahawa kita akan sentiasa kaya dan kekal hidup selamanya?apakah kita merasakan yang miskin, tidak mampu dan papa kedana itu orang lain dan ia mustahil berlaku pada kita?siapa pula yang dapat memberi jaminan ini?

Persoalan yang besar ini saya kira amat berat untuk kita fikirkan. Namun apa yang kita harapkan ialah mereka-mereka yang miskin tidak dizalimi hak mereka dan supaya mereka diberi penghormatan atas dasar kita adalah manusia biasa. Sesungguhnya mereka juga ada maruah dan kehormatan. Tidakkah kita ini zalim orangnya jika kita merendah-rendahkan mereka dan menghina mereka? Amat besar tanggungjawab mereka yang berada dalam institusi berkenaan. Bukan sekadar bekerja mencari nafkah, lebih dari itu adalah berusaha membantu golongan yang memerlukan, kerana siapa tahu, mungkin satu hari nanti, kita atau keluarga kitalah orang yang memerlukan itu.

Saya tidak menulis untuk menghina atau mengaibkan sesiapa dan mana-mana pihak. Saya tidak membuat fitnah atau mahu menambah fitnah yang semakin berleluasa sekarang. ia hanya satu pengalaman hidup saya dan terjadi atas diri saya. Ini adalah satu pengajaran yang sepatutnya kita sama-sama renungkan. Tiadalah hina seseorang berdasarkan hartanya, tetapi hinanya seseorang adalah kerana khianat pada amanah dan tidak berlaku adil pada sesama manusia.

Saya mengharapkan agar Allah menjauhkan kita semua dari segala sifat keji ,busuk hati serta angkuh, yang akhirnya, ia akan merendahkan martabat dan maruah diri kita sendiri...

Isnin, 30 Jun 2008

Kejatuhan Kerajaan Arabasta

(Artikel kali ini adalah hadiah saya buat penggemar komik tanah air. Ia merupakan percubaan saya dalam menyahut seruan seorang rakan supaya menulis berkaitan isu politik semasa.bagi tajuk yang berat2 tu, nantilah saya tulis..TQ)


Pernahkah anda membaca komik “One Piece”? saya sebenarnya suka membaca, jadinya yang paling menarik adalah komik(sebab ada gambar dan ceritanya menarik serta kelakar!)..hah, mungkin ada yang ketawakan saya tapi komik sebenarnya merupakan secebis medium dalam menyampaikan sejarah secara bersahaja, berlapik dan penuh humor.

Di dalam komik “one piece” siri Arabasta, Luffy dan rakan-rakan telah mengembara ke sebuah kerajaan padang pasir bernama Arabasta. Kerajaan ini sedang menghadapi kemuncak krisis perang saudara. Puak pemberontak telah menjadikan isu kekurangan makanan dan minuman sebagai alasan untuk memberontak, serta menyalahkan pihak istana kerana lambat bertindak sehingga ramai penduduk terkorban. Mereka juga membenci raja kerana menganggap raja hidup dalam keadaan mewah sedangkan rakyat hidup tersepit dan sengsara.

Tentera kerajaan yang setia mendokong raja pula beranggapan bahawa pemberontak telah menimbulkan isu yang tidak sepatutnya muncul. Ini kerana memang pada itu seluruh negara sedang menghadapi musim kemarau. Bahkan raja telah berhabis-habisan mengeluarkan harta negara sehingga kering-kontang stor makanan hatta makanan di istana, demi membantu rakyatnya yang menghadapi kesengsaraan hidup yang belum pernah berlaku sebelumnya. Raja juga menghadapi tekanan politik yang dahsyat daripada para ‘tycoon’ bisnes yang mengugut kerajaan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Apa yang tidak disedari oleh kedua-dua belah pihak ialah mereka telah di peralat oleh satu lagi pihak iaitu Pertubuhan Baroque Works ( B.W). Pertubuhan ini sebenarnya merupakan sebuah organisasi yang besar. Ahli-ahlinya terdiri dari para ‘tycoon’ bisnes, pegawai tentera kerajaan, golongan istana dan kalangan para pemberontak. Merekalah yang merancang melaga-lagakan rakyat dan pihak istana. Mereka juga menggerakkan pemberontak agar menentang istana dengan senjata yang mereka bekalkan.

Segala propaganda mereka, melalui bermacam media telah membuahkan hasil apabila jumlah golongan pemberontak sangat ramai menyaingi golongan pro istana. Pihak B.W juga membuat segala kejahatan mereka dengan alasan ia adalah arahan pihak istana. Walhal raja tidak tahu menahu tentang perkara itu. Ini menambahkan kebencian rakyat terhadap pihak istana dan raja sendiri.

Akhirnya pemberontakan besar-besaran telah berlaku dimana pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak telah berlaku di ibu kota. Beratus ribu rakyat telah terkorban dalam pertempuran itu. Mereka sama ada pemberontak atau tentera kerajaan berpegang pada slogan “ kita dipihak yang benar”. Walhal mereka tidak menyedari bahawa mereka semua telah diperalat dan diperdaya hingga memusnahkan negara mereka sendiri.

Saya menyedari bahawa cerita ini langsung tiada ilmiahnya kerana ia di cedok dari komik yang sudah tentu khayalan penulis semata. Namun tahukah anda bahawa sebahagian pemerintahan yang tumbang di dunia adalah disebabkan komplot dan konspirasi pihak yang dahagakan kuasa dan takhta, selain faktor pemerintahan yang zalim dan lemah. Anasir-anasir media juga memainkan peranan penting dalam menentukan nasib sesebuah negara. Lihat sahaja Rwanda. Kerana diapi-apikan oleh media dan sokongan kelengkapan militer oleh Perancis, kerajaan Hutu waktu itu telah melakukan penyembelihan beramai-ramai terhadap etnik minoriti Tutsi. Perang saudara 3 bulan = 1 juta rakyat terkorban!!

Saya berdoa agar negara Malaysia ini terhindar dari perang seperti negara lain dan tidak berlaku sebarang kekacauan sehingga menyebabkan rakyat sengsara dan hidup dalam ketakutan. Janganlah kita bertelingkah dengan melampaui had dan batasan. Sesungguhnya Allah tidak suka pada mereka yang melampaui batas…

Ahad, 22 Jun 2008

Catatan Diari Anak FELDA

Saya dibesarkan oleh datuk di sebuah Tanah Rancangan Felda, di selatan tanahair. Melihatkan rumah yang kami diami sekarang, saya terkenangkan hidup kami sekeluarga pada 20 tahun yang lepas.

FELDA ( Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) diasaskan pada 1 julai 1956 oleh Dato’ Razak (Tun Abdul Razak). Ia ditubuhkan dengan tujuan membantu golongan luar bandar yang hidup miskin, sekaligus membangunkan sektor perladangan berskala besar. Setiap peneroka FELDA diberi 10 ekar tanah pertanian dan suku ekar tanah untuk pembinaan rumah. Sehingga kini FELDA telah menjadi sebuah organisasi “raksasa” dengan keluasan tanah pertanian mencapai 2 juta ekar (800 000 hektar). Ia juga menjadi pengeluar minyak sawit utama dunia dan penyumbang kedua terbesar pendapatan negara selain Petronas.

Teringat dahulu membantu datuk di ladang. Ketika menyabit sawit, datuk akan suruh saya dan nenek diri jauh-jauh, takut nanti kena hempap pelepah sawit. Bukan sedikit bilangan peneroka yang mati dihempap kelapa sawit dan pelepahnya. Namun demi sesuap nasi, kerja mesti dilakukan. Saya akan menyorok dibelakang nenek setiap kali datuk menyabit. Habis menyabit, barulah saya membantu dengan memungut biji lerai yang bertebaran di sekeliling pokok. Memungut biji sawit memang kerja yang senang, tapi memenatkan dan berbahaya pula. Banyak kali juga saya terpegang ular yang sedang nyenyak tidur di celah-celah dahan sawit dan di lubang-lubang yang menjadi sarang mereka.

Saya juga membantu nenek mengambil air di sungai untuk bekal minum dan masakan. Kerana bekalan air paip belum ada ketika itu. Kami sekampung memang menjaga sungai supaya sentiasa bersih dan boleh digunakan untuk kegunaan harian. Waktu petang begini memang waktu kaum ibu berkumpul sambil ‘bergosip’ dan bercerita tentang kampong asal masing-masing. Manakala kami pula sibuk mandi dan bermain sakan sahaja.

Waktu malam adalah waktu yang amat dinantikan, kerana boleh menonton TV di rumah ketua blok. Ini kerana TV menggunakan kuasa bateri dan tidak boleh membazir, jadi hanya dipasang di waktu malam. Di kampong kami, hanya 4 buah rumah sahaja yang ada TV dan itupun hitam putih je..jadilah..saya yang ketika itu kanak-kanak riang, memang antara orang pertama sampai rumah ketua blok bersama rakan-rakan lain. Cerita apa yang di tonton tak tau pula, (dah tak ingat) yang syok adalah dapat tengok peti kayu yang boleh keluarkan gambar dan suara- Hebat!

Antara kenangan ‘kelakar’ saya adalah ketika makan malam bersama datuk dan nenek. Di bawah samar-samar lampu minyak tanah, saya ternampak ada satu ‘tulang ikan’ besar dilantai. Dahulu saya memang suka meratah tulang (sekarang pun), lalu saya cekut tulang itu dan ingin suap ke mulut. Belum sempat masuk mulut, ‘tulang’ itu bergerak-gerak dan mengledeng -kata orang kampong saya. Rupa-rupanya ia adalah lipan! Nasib baik nenek perasan lalu ditepis tangan saya sekuat hatinya. Kalau tidak mungkin arwah saya malam itu..haha..ngeri betul waktu tuh, namun kelakar pula bila teringat sekarang ini..

Walau sehebat mana rintangan yang dihadapi, walau sepayah mana kehidupan dilalui, namun saya tidak pernah melihat datuk dan nenek mengeluh dan meratap dalam mengharung kepayahan hidup. Mereka, seperti mana juga keluarga peneroka yang lain, mengharung hidup dengan tabah dan penuh sabar. Datuk sering mengingatkan agar saya belajar bersungguh-sungguh dan menjadi manusia berguna bila besar nanti. Mereka telah berkorban hidup demi Tanah Rancangan ini, dan menjadikan cita-cita Tun Razak menjadi kenyataan.

Hari ini, melihat rumah batu yang kami diami sekarang dan segala kemudahan asas yang cukup, saya amat terharu dan berterima kasih pada FELDA dan Allahyarham Tun Razak, atas visi besarnya dan usaha yang gigih dalam mengubah kehidupan rakyat luar bandar. Ia adalah antara gagasan kerajaan yang berjaya dilaksanakan dan memberi manfaat kepada lebih 112 000 keluarga di seluruh negara.

Saya juga menyedari, masih banyak lagi yang perlu dibuat FELDA dalam membantu golongan peneroka dan generasi penerus mereka, namun usaha ini akan gagal jika tiada perancangan rapi dan usaha yang bersungguh-sungguh dari semua pihak.

Demikian kita lihat, dengan visi yang besar, keyakinan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh kita mampu untuk mengubah kehidupan agar menjadi lebih baik. Kita boleh menjadikan sesuatu yang difikirkan mustahil pada awalnya - menjadi realiti. Meminjam kata-kata Tun Dr mahathir, “Hanya mereka yang cekal dan tabah, akan berjaya” – Insya-Allah…

Jumaat, 13 Jun 2008

Antara Daging dan Tulang

( tulisan ini merupakan satu ‘rayuan’ saya kepada pembaca-pembaca sekalian)


Sering sahaja kita ( terutama orang Melayu) apabila ingin berniaga atau bekerja sendiri mendapat bantahan atau tentangan keluarga. Alasannya tiada pencen, tiada kemudahan rawatan dan lain-lain sebab, yang sangat banyak jumlahnya kalau dihimpun.

“ Buat apa susah-susah nak kerja sendiri? ko ada modal ke? , makan gaji dengan gomen(kerajaan) sudahlah..Untung apa?.elaun dapat, pencen ada, loan kereta dengan rumah pun senang”

Ya, saya setuju juga pendapat ini. Namun saya kira ungkapan seperti ini tidak membantu bangsa kita untuk berdiri setanding dengan rakan-rakan dari bangsa lain di Malaysia. Orang yang mengatakan seperti ini telah “ membunuh secara terang-terangan” impian anak bangsanya yang ingin berusaha atas kaki sendiri, serta menyebabkan kita menjadi golongan yang kecil hatinya, rendah daya saing, lemah semangat dan terbatas impiannya.

Secara tidak langsung, kita sebenarnya mengharapkan agar anak bangsa kita mencontohi kucing. Biarkan tunggu sahaja tuan kita habis makan, nanti mesti dapat makanan juga. Kalau nasib baik, tulang yang diberi ada sedikit daging!

Saya tidak menulis ini dengan tujuan menghina atau merendahkan mana-mana binatang, sementelahan mereka juga makhluk ciptaan Allah. Dan tiada niat sama sekali menghina atau merendahkan mereka yang bekerja di sektor kerajaan (keluarga saya juga ramai yang bekerja kerajaan). Bahkan saya bersyukur dan berterima kasih pada mereka kerana bekerja bersungguh-sungguh demi kebaikan rakyat. Tanpa mereka yang bekerja dengan kerajaan sudah pasti kerajaan akan lumpuh dan negara huru-hara bukan?

Namun saya menulis artikel ini demi ‘merayu’ pada pembaca-pembaca budiman semua, agar anak-anak muda yang ingin bekerja sendiri dibantu dari aspek psikologi, diberikan semangat, diberikan nasihat, serta dihulurkan bantuan yang mana perlu. Dorongan dari keluarga, rakan-rakan dan masyarakat seluruhnya, mampu mengubah mentaliti kita agar tidak mengharapkan makanan hanya pada satu dulang sahaja, sedang banyak lagi dulang yang penuh makanan, menunggu kita untuk mengambilnya.

Kita tidak akan berjaya mencapai kejayaan jika kita tidak menguasai perasaan takut kepada kegagalan. Kenapa kita mesti takut? Sedang kita belum mencubanya. Adakah begitu kerdil dan rendah dirinya kita sehingga menganggap bahawa dengan bekerja sendiri dan berniaga, kita akan miskin dan tidak mampu menyara keluarga? Mengapa kita tidak menghayati kata-kata Rasulullah S.A.W yang memberitahu kita, bahawa 9/10 punca rezki adalah dengan berniaga dan berdagang? Bukankah orang Melayu juga sama tarafnya dengan semua manusia yang ada di muka bumi ini?

Saya mengharapkan agar orang yang tidak berpelajaran tinggi, tidak kerdil hati dan jiwanya. Berusahalah memperbaiki kehidupan dengan berniaga. Bantuan dari kerajaan saya kira melimpah ruah dan menunggu kita untuk menggunakannya. Kita tidak perlu malu dengan berniaga, hatta meniaga burger sekalipun. Ingatlah, kita bukan merompak kekayaan orang lain atau meminta-minta, kita mencari rezki dengan cara yang betul, mulia dan halal. Mereka yang berpelajaran juga, haruslah menyokong sesiapa yang ingin berniaga dan bekerja sendiri. Janganlah direndah-rendahkan keupayaan rakan-rakan dan adik-adik kita untuk berusaha sendiri. Galakkan mereka, beri semangat pada mereka, beri perangsang, dan sentiasa mengambil perhatian atas kerja mereka. Mereka yang bercita-cita menjadi usahawan, amat memerlukan sokongan moral yang tinggi terutama dari keluarganya pada setiap masa. Oleh itu kalau kita sayangkan mereka sudah tentu kita akan mengambil serius atas hasrat murni mereka untuk menjadi usahawan, seterusnya akan membantu dengan memantau perniagaan mereka hingga berjaya.

Dunia ini, kini, menjadi semakin sempit dan sesak. Namun kita harus percaya dan yakin sesungguhnya rezki Allah itu ada untuk kita. Yang diperlukan adalah USAHA kita untuk mencarinya. Tidak guna ada nasi satu dulang depan mata, jika tangan kita tidak mengambil dan menyuapnya ke mulut. Umpama kata ibarat “Ayam di kepok mati kelaparan, ikan dilaut mati kehausan”.( sudah tentu Encik Karam S. Walia lebih hebat dari saya dalam membuat ibarat ini).

Saya dengan rendah diri, memohon pembaca sekalian agar menolong mereka yang ingin berniaga dan bekerja sendiri, dengan berdasarkan keupayaan masing-masing. Janganlah mengkhianati cita-cita mereka, memomokkan dan menakutkan mereka dengan seribu satu kegagalan orang lain, tetapi berilah mereka semangat dengan memberi contoh mereka yang telah berjaya. Sesungguhnya kejayaan pada hari esok ditentukan oleh impian kita semalam dan usaha yang berlipat ganda hari ini.

Dan akhirnya, janganlah kita berebutkan ‘tulang’ yang mungkin ada sedikit daging yang tersisa, tetapi membiarkan sahaja seketul ‘daging mentah’ tanpa bercuit, dengan memberi alasan ianya belum dimasak!

Khamis, 12 Jun 2008

Kejujuran Tidak Ternilai

Pagi ini saya dikejutkan dengan panggilan dari seorang wanita. Beliau mengatakan bahawa beliau terjumpa dompet saya dan meminta saya datang ke kedainya untuk mengambilnya kembali. Ia memberi khabar gembira kerana saya memang sedang runsing memikirkan hal Kad Pengenalan,lesen memandu,kad bank serta dokumen lain yang ada didalamnya.

Sesampainya saya disana,pekerja-pekerja kedai itu (kedai baiki & servis kereta) memang menanti kedatangan saya dan dibawa berjumpa wanita itu. Nama beliau adalah Winnie( maaf jika tersilap tulis). Beliau mengatakan terjumpa dompet saya pagi tadi, tidak jauh dari kedainya dan mendapati kad bisnes saya ada didalam sekaligus menelefon saya. Saya amat tersentuh hati dan amat bersyukur, kerana masih ada manusia yang baik hatinya serta tinggi akhlaknya di Bumi Tercinta ini seperti Winnie dan rakan-rakannya.

Adapun saya juga sangat kagum terhadap sikap beliau. Ia bukan senang dilakukan, Percayalah!! Apabila kita mengambil sesuatu barang yang tercicir,yang kita tahu ia tidak datang sendiri melainkan ada tuan empunya, maka pertanggungjawaban itu ada diatas bahu kita, sehingga kita berjaya menemukan tuan empunya barang atau kita serahkan pada pihak berwajib.

Nilai murni ini yang diajar oleh ibubapa kita serta guru-guru kita, haruslah sentiasa diamalkan dalam kehidupan seharian. Ia juga merupakan salah satu elemen utama sifat seseorang Muslim.

Kejujuran tidak ternilai dan tiada sempadannya. Kejujuran tidak mengenal warna kulit, bangsa , agama serta pegangan. Tidak kira siapa pun mereka, jika mengamalkan sikap jujur, sudah tentu Allah akan menaikkan darjat serta kemulian mereka dan dipandang tinggi pula oleh masyarakat sekitarnya.

Kejujuran tidak ternilai, lebih-lebih pula ketika umat manusia semakin mementingkan diri sendiri dan tidak ambil kesah keadaan sekeliling. Ia sangat mahal di waktu ini dan di saat ini, umpama mencari sebutir beras di lautan pasir.

Hanya Allah jualah yang membalas kebaikan setiap manusia yang berlaku jujur sekaligus menjadikan bumi ini tempat yang lebih selesa dan aman sentosa untuk didiami oleh semua orang..


p/s:
(Terima kasih saya sekali lagi kepada Winnie dan rakan-rakannya di Win Auto Services,Danau Kota.Saya tidak akan lupakan jasa baik anda semua)

Rabu, 11 Jun 2008

Menyingkap Jatuh Bangun Dunia Islam

Kekuatan Islam dalam menyatukan seluruh masyarakat Muslim adalah dengan bersandarkan kepada 5 Prinsip dan tiang, iaitu- Kepercayaan Rukun-rukun dalam Islam, Syariah, Budaya, Ketelusan Ummah serta Keindahan Islam itu sendiri.


Penyatuan Ummah merupakan payung yang memayungi semua bangsa, puak, suku kaum dan melewati batas sempadan negara. Yang demikian, Ummah Muslim menjadi satu entiti dan tidak pula terpisah-pisah. Jika ada antara Muslim yang merintih sakit dan memerlukan pertolongan, maka dengan segera Ummah yang lain akan memberi pertolongan serta mendamaikan pula hatinya. Jika mana ada antara Ummah yang ditindas, maka ummah yang lain akan mempertahankannya hatta dengan nyawa sendiri sekalipun. Perpaduan dan persaudaraan yang ditunjukkan oleh Ummah ini telah diterjemahkan iaitu dengan hanya dalam tempoh 80 tahun, Islam telah menguasai kawasan yang sangat luas sehingga melebihi kekuasaan yang dimiliki oleh Empayar Rum, yang mana memerlukan 800 tahun untuk dibina.

Sudah tentu perluasan kuasa Ummah pada masa itu bukan berdasarkan tamak kuasa atau menghauskan darah seperti yang diceritakan oleh sesetengah sejarawan yang “buta kayu”. Besar perbezaannya antara Muslim yang berjuang memerdekakan manusia daripada golongan manusia yang hanya menghambakan orang lain. Ummah Muslim terkenal dengan keberanian melawan penjajah-penjajah serta tidak pernah gentar pada cabaran musuh. Mereka dengan sepenuh hati dan tenaga melawan habis-habisan pihak Tentera Salib yang ketika itu melancarkan “Perang Antarabangsa” yang berlarutan selama lebih kurang 2 dekad (489-690 A.H / 1096-1291 A.D) .


Juga orang-orang Islamlah yang berjaya mengalahkan puak Tatar dari tanah tinggi ‘Steppe’ dan seterusnya menukar status mereka kepada Muslim dan menjadi salah satu kuasa sekutu yang gagah dalam mempertahankan kesucian Islam dan kehormatan Ummah seluruhnya.


Pada tahun 897 A.H ( 1492 A.D) para Kolonial Eropah ( Penjajah atas nama Agama) telah menakluk dan memusnahkan Negara umat Islam bermula dengan Gharnatah ( Granada). Manakala tahun 1213 A.H ( 1798 A.D) pula Ummah dikejutkan dengan ‘kuda dan senapang’ Napoleon Bonaparte yang bergema di Mesir. Musibah yang lebih besar menjelma pada tahun 1342 A.H ( 1924 A.D) apabila kuasa Khilafah Islam yang berpusat di Istanbul ketika itu tumbang dan di lenyapkan oleh golongan tentera sekular yang diketuai oleh Kemal Ataturk. Dengan lenyapnya entiti Khilafah dan pemerintahan Khalifah, serta diburukkan dengan ‘trend’negara-negara Penjajah Eropah yang bercita-cita menjadi Tuan Besar supaya boleh menghamba manusia lain, negara-negara Umat Islam menjadi pecah belah akibat sengketa sesama sendiri. Masing-masing berjuang demi kemerdekaan secara bersendirian, hasil fahaman Nasionalisme yang ditanam oleh para Kolonial seterusnya melupakan Integriti dan Solidarity Ummah secara keseluruhan.


Ditengah keributan Umat Islam ketika itu, muncullah sebuah Negara yang diasaskan oleh Penjajah-penjajah Eropah tadi di Palestin. Ia diwujudkan demi mengelak Ummah Muslim daripada bersatu dan kembali menjadi kuat seperti dahulu sekaligus menyelesaikan masalah “Manusia Tanpa Tanahair” yang menjadi ‘KANSER’ pada mereka berabad lamanya. Maka tertubuhlah Negara Israel yang dipimpin oleh golongan Zionis yang amat memusuhi Islam serta Umatnya tidak berapa lama kemudian...


( Sumber berkaitan didapati dari buku 'History of Palestine' karangan Dr Mohsen Mohammed Saleh . )

Teringat Sebuah Sajak...

Pernahkah anda membaca buku "Mat Som"? Merupakan karya Datuk Lat, amat-amat saya minati. Tambahan pula ada di selitkan sajak menarik. Ini satu di antaranya .


SONGSANG



Maafkan Aku,
Kalau Aku Sering Saja Berlaku Songsang,
Terutama Di Perayaan Tahunan
Seperti Hari Ini..

Apabila Semua Orang Telah Sedia Duduk,
Aku Bangun berdiri..
Apabila Orang Bangun bertepuk,
Aku Duduk..
Apabila Orang Ghairah Berbincang,
Aku Tidur..
Apabila Orang Melepaskan Merpati,
Aku Menabur Padi..
Orang Lain Telah Merdeka,
Aku Belum..

Maafkan Aku
Kalau Aku Sering Saja Berlaku Songsang,
Aku Hanya
Ingin Mengingatkan...



` ------------------- Oleh :A. Latiff Mohidin ------------------------------

Jumaat, 6 Jun 2008

Kegagalan dan Kejayaan

Apakah makna sebenar kejayaan itu? Apa dan bagaimana pula takrif kegagalan? Saya sendiri tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan kepada semua pihak. Namun jika ditanya pendapat sendiri saya pantas mengatakan gagal adalah punca kejayaan..ia bkn 2 entiti berlainan atau berlawanan, ia adalah bersangkutan umpama aur dan tebing,isi dan kuku, ombak dan pantai, hidup dan mati...

Sebahagian rakan berkata, apabila kita lahir ke dunia maka kita adalah berjaya, manakala jika kita mati akibat keguguran adalah kegagalan. Lagi, jika kita tertawa, maka itu tanda berjaya, jika kita menangis itu tanda gagal. Saya bersetuju juga dengan nya dalam sesetengah hal. Namun kita perhatikan, setiap bayi yang lahir semua menangis- adakah ia satu kegagalan?Setiap ibu yang menangis mendoakan anaknya agar berjaya dalam peperiksaan- adakah ia juga tanda orang yang gagal?-tentu tidak! Ianya adalah satu keperluan mengikut faktor2 tertentu yang ditetapkan Allah.

kita perhatikan lagi, setiap satu sperma yang berjaya bercantum dgn ovum adalah kerana membabitkan 'kos'. 'Kos' disini adalah beribu2 sperma yang lain, yang mati semasa dalam perjalanan yang panjang menuju 'kejayaan' untuk mempersenyawakan ovum seterusnya membentuk segumpal darah-daging-tulang dan akhirnya menjadi manusia. Jadinya kita lahir adalah kerana matinya ''yang lain-lain'' itu.

Ia bukanlah sesuatu yang buruk, tapi ia adalah KEPERLUAN..Ya, untuk berjaya keperluannya adalah GAGAL! kita suka atau tidak, ia adalah realiti. Seorang bayi pasti tidak akan tahu berjalan jika ia tidak pernah jatuh dan tidak akan bertutur lancar jika tidak bertutur pelat terlebih dahulu. Ia adalah proses semulajadi. Kita tidak mencari ilmu jika kita tidak bodoh/jahil bukan? begitulah, kita tidak akan hidup kaya jika tidak merasa hidup miskin, tidak akan merasa sehat jika tidak pernah sakit, kita tidak akan membesar jika tidak ada 'kematian', dimana perlunya sel lama 'mati' dan diganti sel baru,dan lain-lain bukti lagi yang menjadi kemestian kejayaan itu berpunca dari kegagalan.

Mengenang hikmah kegagalan adalah lebih besar ertinya dari mengingati sesuatu kejayaan, kerana penghayatan keatas kegagalan itu akan membawa kepada kejayaan yang sangat besar di kemudian hari. Kita perlu berlapang dada jika ditimpakan kegagalan dan berusaha dengan lebih giat dan cergas selain membaiki kelemahan yang ada supaya kemudian akan terbit pula kejayaan.

Dan akhirnya, jika ditentukan pula kita masuk Syurga(*harap-harapnya dapat masuk lah), maka kita perlu menghadapi kematian terlebih dahulu barulah dapat masuk syurga. Kerana itulah hukum Allah yang telah ditetapkan ke atas setiap makhluk, dan hanya dengan cara ini sahaja maka barulah kita akan memperoleh kejayaan yang sebenar-benar kejayaan..Ianya bermula dengan kegagalan...

Isnin, 2 Jun 2008

Anugerah Cemerlang LZS 2007

Pada 31 mei yang lepas, saya dan zaki -rakan sekerja- telah pergi ke UniSel Btg Berjuntai( Bestari Jaya) untuk menghadiri majlis anugerah kecemerlangan LZS, kepada anak2 asnaf yg berjaya dalam peperiksaan tahun 2007.

Sebenarnya saya tidak minat sangat untuk pergi kerana kapasiti saya hanya sebagai pemerhati dan makan-makan sahaja. Ini saya kira melemaskan dan amat merimaskan! namun kerana Menteri Besar Selangor hadir sama( Tan Sri Dato' Khalid) maka terpaksa juga kami tunjuk muka. Tambahan pula diumpan dengan makanan yg best2 belaka, yalah..MB pun turun, sudah tentu meraikan MB menjadi hadaf utama majlis ini. Itu antara perkiraan saya lah!

Namun saya dapati ada perkara yang amat menyentuh hati sepanjang program ini berlangsung, dan menyebabkan ianya menjadi sebab saya bersyukur kehadrat Allah yang saya hadir pada hari itu. Pertama adalah kerana fasi kami antara penerima hadiah pada majlis itu. Iaitu Fairuz Alhafiz dan Zainuddin. Maka kami selaku perunding sudah tentu merasa bangga dan amat gembira atas kejayaan mereka. Sempat jugalah kami berjumpa rakan2 konsultan lain dan bertanya hal masing2 sementelahan tiada projek setakat nih. Manakala selebihnya pula di imarahkan dengan mengumpat dan mengutuk sakan sahaja adanya.


Perkara kedua ialah berkaitan dengan MB baru selangor. Kalau dahulu-tahun2 lepas- sering sahaja berlaku kekurangan makanan atas meja kami ( kami makan kat meja VIP tau), namun pada tahun ini terbalik pula, meja kami yang penuh makanan dan meja MB pula kosong!! giler apa? saya pun tak pasti..cuma nya yg kami lihat, MB baru tidak membawa bersama "langau-langau"..kalau tidak pastilah mcm tahun lepas, orang mereka saja yg ramai2 makan,kami makan kat luar sahaja. Ini saya kira satu pembaharuan yang di bawa oleh pemimpin keADILan. ( jgn salah sangka, saya tidak menyokong parti mereka!!), dan perubahan ini sudah tentu satu tindakan positif, yang saya lihat jika berkekalan mampu menjadikan mereka sebagai pemerintah untuk satu jangkamasa yang panjang.

Walau apapun, pada majlis itu saya amat terharu apabila tiba-tiba disapa oleh seorang pelajar yang menerima anugerah. Beliau salam tangan saya sambil mengucapkan terima kasih berkali-kali. Bingung juga saya dibuatnya.."Entah anak siapa pula ni?" fikir saya. Namun beliau menjelaskan bahawa beliau adalah bekas peserta program saya, dan saya - semasa program itu dahulu- telah memarahi serta mendenda beliau atas beberapa kesalahan. Beliau berterima kasih atas "perhatian" yang saya berikan dan berharap dapat pergi lagi program kami. Saya menasihatkan beliau supaya berusaha dengan lebih kuat dan mudah-mudahan terus berjaya.

Saya menulis perkara ini bukan mencari populariti atau ingin mengatakan saya hebat, TIDAK!! Namun saya tulis adalah demi mengingatkan diri sendiri dan diri pembaca sekalian. Jika orang seperti saya yang pernah di gelar 'puaka' atau 'jahat' oleh sebahagian peserta program, mampu mendapat ucapan terima kasih mereka, saya pasti anda yang tidak pernah mendapat jolokan dan gelaran buruk seperti itu, mampu dan boleh mendapat penghargaan yang lebih dari itu.

Kita berada pada zaman yang amat memenatkan dan amat menjelikkan. Dimana pada hari ini manusia dinilai pada "kertas2" yang dimilikinya, kereta2 yang besar, rumah yang besar serta kemampuan untuk berbelanja. Manusia hanya pentingkan diri sendiri dan tidak reflek pada persekitarannya. "Biar pergi jahanam dengan budak2 yang bermasalah dan suka membuat kacau ini, dia bukan anak kita / adik kita!!" ialah antara kata2 yg "sedap" didengar kita. Ini adalah jawapan mudah demi mengelak rasa bersalah kita. Namun sikap seperti inilah yang akhirnya menjadikan remaja2 kita rosak akhlaknya, punah harga dirinya, rendah maruahnya serta jahil agamanya, sedang merekalah yang bakal menerajui bumi Allah ini pada masa akan datang.

Saya menyeru kepada pembaca-pembaca budiman supaya mengambil bahagian dalam menjadikan anak-anak muda kita berjaya menjadi 'manusia', seperti yang diharapkan oleh Allah dan RasulNya. Mudah-mudahan anak-anak muda kita ini, kelak tidak menyalahkan kita, atas kelalaian dan kegagalan kita menegur mereka serta menjadikan pula ia sebagai alasan mereka, apabila dihadap di Mahkamah Allah nanti...

Sabtu, 31 Mei 2008

Nusantara

Adapun perkataan nusantara, pertamanya dikenali ialah semasa ucapan Patih Gajah Mada iaitu 'mahapatih'(perdana menteri) Kerajaan Majapahit pada kurun ke-14 dahulu. Nusantara yang dimaksudkan beliau meliputi kawasan yang sangat luas meliputi Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, sebahagian Filipina, sebahagian Thailand, dan sebahagian pulau Papua.

Perkataan nusantara itu bermaksud 'bangsa antara'. Jika diteliti dengan cermat, kita mendapati bahawa geografi nusantara itu adalah satu kawasan yang dikepung oleh 2 laut. Iaitulah Lautan Hindi dan Lautan Pasifik. Maka boleh kita simpulkan makna Nusantara adalah satu kawasan kependudukan yang berada antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.

Manakala jenis bangsa manusia yang boleh kita lihat dan perhatikan, mereka mempunyai banyak persamaan dari segi paras rupa, warna kulit dan bahasa. Ini jelas membawa erti bahawa mereka bukanlah kaum-kaum yang berlainan tetapi SATU kaum yang sama pada asalnya. Manakala bahasa rasmi/ lingua franca yang digunakan adalah bahasa melayu, dan bahasa lain yang digunakan ialah Jawa. Walaupun terdapat perbezaan dari segi ayat dan sebutan bahasa melayu pada sesetengah tempat, namun ia hanyalah dialek dan lahjah mengikut faktor tempat tertentu. Sungguhpun demikian, ia tidak menjejaskan bahasa Melayu sebagai bahasa utama bahkan ianya difahami dan dituturkan dengan meluas oleh penduduk Nusantara.

Setelah berakhirnya kerajaan Majapahit dan Srivijaya, maka lahirlah pula kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Ini tidak pula bermaksud tiada kerajaan Melayu sebelum itu. Ada! seperti kerajaan Perlak, Demak, Merah silau dan lain-lain. Namun kerajaan Melayu Melaka adalah kesinambungan kerajaan utama yang menerajui Wilayah Nusantara. Kerajaan Melayu Melaka merupakan pewaris kegemilangan Empayar silam seperti Majapahit dan Srivijaya. Oleh itu, Melaka yang pada waktu itu menjadi pusat pemerintahan kerajaan Melayu Melaka, menjadi sangat terkenal di seluruh dunia, sehingga mendapat jolokan 'Venice Timur'.

''Langit tidak selalu cerah'', pada tahun 1511, kerajaan Kristian Portugis telah mengalahkan kerajaan Melayu Melaka sekaligus melenyapkan kuasa pewaris empayar Nusantara dari muka bumi. Sejurus itu, kerajaan Melayu Melaka telah berpecah-pecah dan setiap wilayahnya menghadapi pergolakan dan pemberontakan. Di tanah semenanjung, saki-baki askar kerajaan Melayu Melaka berusaha mengusir Portugis, manakala di tempat lain mereka terpaksa berentap dengan satu lagi 'Benggali Putih'=Belanda!

Akhirnya Melaka jatuh ke tangan Belanda dan seterusnya kepada cengkaman Empayar British(saya kira tuan-tuan boleh merujuk buku sejarah Asia Tenggara, bagi mendapat maklumat yang lebih tepat). Selama beratus-ratus tahun bangsa Nusantara hidup dibawah arahan 'Benggali Putih', mereka menjadi kecil hatinya, lemah semangatnya, rendah harga dirinya, dan berputik pula semangat mendewakan orang lain dan tidak percaya diri.

Sehinggalah kini, seperti jualah nasib manusia-manusia yang pernah dijajah di tempat lain, bangsa Nusantara gagal mengenal sejarah nenek moyangnya, gagal mengenal identiti diri sendiri, dan lebih malang, mereka melupakan ikatan persaudaraan dan kebanggaan yang pernah wujud satu ketika dahulu di tanah Nusantara ini.

Isnin, 26 Mei 2008

Perpindahan

Saya terlintas menyambung artikel berkenaan manusia secara asal lahiriah dan batiniah (kalo nak tulis secara detail, mungkin 7 tahun baru abih tulis agaknya). Namun kali ini saya ambil tajuk yg kecil sahaja, sesuai dgn pemikiran saya yg tidaklah besar manapun. Persoalan mengenai pindah, baik pindah umah atau pindah sekolah dah byk kali saya melaluinya, namun selepas bekerja nih saya LEBIH memahami.

''kena pindah lagi..''- adalah ungkapan yg sering terdengar di bibir org yg berpindah, baik pindah umah, pindah opis, pindah sekolah, pindah barang, pindah kerja, atau pindah apapun..namun kita terlupa barangkali, bahawa perpindahan lah yg menyebabkan kita hidup dan berjaya menjadi orang seperti sekarang. Dan tentulah berpindah itu merupakan fitrah dan lumrah hidup..

Asalnya kita berada di alam roh atau 'spirit' (bukan spirit koin!) dan kemudian dipindahkan oleh Allah yg Maha Kaya lagi Maha Mengetahui, ke alam rahim-iaitu lah rahim ibu kita, melalui proses persenyawaan kompleks dan percantuman ajaib antara sperma dan ovum. Proses seterusnya saya kira bolehlah merujuk kepada kitab sains dan ilmu embryology. Persenyawaan ini membawa kepada satu tahap dimana, satu ketika ruh ditiup dan janin( kandungan) telah bernyawa! dalam erti kata lain ia telah mempunyai jiwa.

Selama 9 bulan lebih atau kurang, kita berada dalam perut ibu kita dan sampai masanya kita berpindah, ke alam dunia. Sudah elok2 kita berseliput dalam kokun(uri) tetiba dah sampai ke dunia. Elok2 tidak perlu cari makan, sudah kene cari duit untuk makan..timbullah masalah dan rintangan setelah lahir ke dunia.

Daripada meniarap-terlentang-merangkak-berdiri-jatuh-diri balik-berjalan-berlari, semua merupakan satu proses yg panjang dan penuh hikmah, mempersiap manusia menjadi gagah berani dan bersedia untuk berpindah sekali lagi...

Maka diberilah manusia segala alat kelengkapan, berupa aqal dan sumber semulajadi bumi serta aturan menggunanya seperti manual hidup gamaknya - iaitulah Quran dan Sunnah Nabi. Segalanya ini merupakan persiapan dan persediaan rapi kita untuk menghadapi PERPINDAHAN TERAKHIR. Dimana modal berupa wang ringgit untuk berpindah sering menyebabkan kita pening kepala, inilah bapak segala modal dan raja segala persiapan kerana antara percaya atau tidak (*saya harap kita semua percaya) perpindahan kali ini adalah pasti dan sesungguhnya pasti.

Tiada lagi perpindahan selepas perpindahan paling besar ini, dimana hari tanpa bulan dan bintang, dimana hilang anak isteri, dimana hilang ibu bapa dan saudara mara, dimana persaudaraan tidak berdasarkan darah, dimana hari tidak dihitung lagi, dimana masa tiada kiraannya, dimana manusia menghadap Allah yang Maha Esa...

Itulah hari yg dijanjikan Allah..Itulah -Hari Perhitungan!!

Rabu, 21 Mei 2008

Bermulanya manusia dengan kalimah 'KUN'

Adapun ini adalah merupakan pengenalan diri saya yg pertama. Sebagai seorang Islam, saya mengakui bahawa Allah menjadikan manusia dengan kalimah 'KUN' sahaja..manakala tambahan seperti bahan-bahan membuat manusia, ramuan istimewa, teknik membuatnya dan lain-lainnya tiadalah kita manusia yg pendek akalnya, dapat dan mampu mengetahuinya dengan jelas...

Namun Allah Sang Pencipta, ada menerangkan dalam Al-Quran bahawa DIA menciptakan manusia pertama dengan menggunakan tanah. Ini jelas membuktikan bahawa sebelum Nabi Adam dicipta, bumi ini telah ada. Barulah demikiannya, manusia dapat dicipta asal-usulnya daripada tanah.

Tetapi seperti yg pertama saya nyatakan tadi, bahawasanya asal manusia ialah bermula dengan kalimah 'KUN' sahaja. Memang sungguh benarlah kata-kata Allah!! ini kerana di hari qiyamat nanti, di hari perhitungan terakhir nanti, bumi telah lenyap dan binasa. Jika kita tetap beranggap manusia hanya dicipta dari tanah semata, maka kenyataan bahawa manusia dapat dihidup kembali pasti salah.

Namun Allah telah sedia dahulu memberitahu kita, bahawa diciptakan sesuatu hanya dengan kalimah 'KUN' sahaja. Oleh itu manusia tetap dapat dihidupkan kembali walau tanah(bumi) telah tiada dan binasa.

Maka oleh yg demikian, semestinyalah wajib kita percaya dan mengImani bahawasanya manusia, walau selepas dibinasakan dunia ini oleh Allah, tetap dan terus sahaja akan dibangkitkan oleh Allah, seterusnya akan diperkirakan segala amalnya, baik yang buruk lebih2 pula amal yang baik..

disini saya - joharihamzah- menyeru kepada diri sendiri, dan sesiapa sahaja yg membaca blog ini, supaya sentiasa ingat pada Hari Perhitungan nanti, kerana pada hari itu, tiadalah bermanfaat harta yg melimpah dan lidah yg petah pada kita, kerana yg akan dikirakan ialah amal dan ibadat kita semasa hidup didunia ini...

sekian....Jumpa Lagi..