Jumaat, 12 September 2008

Kaum-Kaum Pendatang 2

Saya orang melayu dan amat berterima kasih pada kerajaan kerana membela nasib kami, sehinggalah saya berjaya dalam pelajaran. Mungkin juga ini jasa Umno dan pakatan perikatan. Namun sekali-kali tiada hak kita mengatakan orang lain pendatang, sedang orang itu ada Kad Pengenalan Warganegara Malaysia!

Saya fikir, kita mungkin tidak sedar bahawa sesungguhnya memanglah kita semua ini hanya pendatang sahaja. Dan semua yang kita miliki akan ditinggalkan jua. Seperti lagaknya si pengembara, berehat sebentar di bawah pohon, demi mendapat tenaga untuk meneruskan perjalanan. Begitulah konsep yang saya faham berkenaan kehidupan didalam Islam. Allah menugaskan kita sebagai “Khalifah” - yang bermaksud pentadbir-jika bukan mentadbir negara sekurang-kurangnya diri sendiri dan keluarga. Dan kita juga sebagai “Hamba”- iaitulah hamba Allah, ikut segala perintahnya dan jauhi larangannya. Jika kita khianat pada janji ini, (Shahadah) maka akan dibalas nanti oleh Allah di Akhirat. Selalu di dalam khutbah Jumaat di kampong saya (Kota Tinggi) saya mendengar, khatib(tukang khutbah) berkata :

“Wahai sekalian Muslimin, ingatlah! Dunia ini hanya tempat tumpangan semata-mata, akhirat jualah tempat yang kekal abadi selama-lamanya..”

Seperti juga Temujin/Genghis Khan, apabila ditanya kenapa menjajah tanah yang sangat luas terbentang, sedang mati nanti hanya perlukan tanah yang sedikit untuk menguburkannya, maka beliau tidak menjawab. Kita haruslah sedar, bahawa dunia ini hanya transit untuk ke akhirat. Maka perebutan tentang tanah transit ini amat merugikan dan membuang masa. Jika ia adalah hak kita, contoh, orang ambil hak kita dan niat menjahanamkan kita, maka kita wajib mempertahankannya, walau dengan apa cara sekalipun. Namun kita janganlah melampaui hak yang telah Allah berikan pada kita.

Dengan mudahnya mengatakan sesetengah kaum sebagai pendatang dan mengharap pula mereka mencurahkan usaha pada pembangunan tanah air ini, bukanlah dipandang sebagai orang yang berakhlak. Tanah ini milik pada siapa yang membangunkannya. Lihatlah pada dunia keliling kita- siapa yang berusaha menabur budi pada tanah-maka tanah akan membalas kembali. Siapa yang berusaha- insya-Allah berjaya. Sebab itulah tanah Kota Kiev itu dahulu( milik bangsa Ukraine) diperintah oleh raja dari keturunan Rusia. Dan lihatlah bagaimana Poland satu ketika dahulu dimonopoli oleh orang-orang yahudi, dan lihatlah bagaimana Jerusalem itu dahulu diperintah oleh orang-orang Rom, dan lihatlah bagaimana pula Singapura yang dahulunya tanah orang-orang melayu diperintah oleh orang cina.

Demikianlah contoh yang telah saya berikan. Jumlah yang sedikit belumlah tentu kalah, manakala jumlah yang besar bukanlah ukuran kejayaan. Jika kita –orang-orang melayu tidak memperkasa diri, membangun diri, dan tidak berusaha sendiri -dan bersungguh-sungguh seperti yang diajar oleh Rasulullah S.A.W, maka kita juga akan kalah dan dikuasai oleh orang lain. Tiada salah mereka yang berjaya dalam hal ini. Kita tak boleh sakit hati dengan mereka yang kaya. Bahkan jika mereka boleh kaya dan berjaya membina empayar kenapa kita tak boleh? Seperti yang disebut-punca kegagalan ialah kerana kurangnya impian dan tersangat pula kurangnya usaha.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita bangunkan diri kita. Bermula dengan ilmu dan berusalah dengan tulang 4 kerat demi mengubah nasib kita dan menjadi tuan pada tanah ini. Sudah cukup lama kita menyaksikan orang lain yang menjadi tuan, orang lain yang kaya, orang lain yang pakai kereta mewah, orang lain yang duduk rumah besar, sudah sampai masa kitalah -diri kita sendiri- yang patut menjadi tuan pada tanah ini.

Berusahalah dengan sekuat-kuatnya dan bertawakkal lah pada Allah. Janganlah asyik mengata orang, yang mereka tidak setaraf dengan kita, sedang kita ini pula secara realitinya tiadalah lebih baik dari mereka. Tiadalah mulia dan hebatnya bangsa melayu ini, jika kita tidak bersungguh-sungguh mengubahnya. Kita harus belajar dari mereka yang berjaya dan menjadikan mereka guru kita. Mudah-mudahan, kita akan berjaya seperti mereka juga.

Dan akhirnya, saya berdoa agar bumi Malaysia ini akan sentiasa aman makmur, dan menjadi contoh kepada negara lain, walaupun hidup berbilang suku kaum dan agama. Kerana kita akhirnya, pastilah akan kembali kepada Allah, dan dihitung segala amal-baik dan buruk. Janganlah hendaknya bangsa-bangsa di Malaysia ini terlalu ikutkan hati dan perasaan amarah, kerana yang akan rugi dan binasa, ialah diri kita sendiri..

Kaum-Kaum Pendatang 1

Malaysia, kebelakangan ini sering berlaku perkara-perkara yang menduga kesabaran penduduknya. Dan yang terbaru ialah berkenaan Dato’ Ahmad Ismail. Saya tidak bercadang menulis perkara ini sebenarnya, sebab tak mahu blog ini dikotori dengan picisan politik. Tapi memandangkan beliau telah pun diputus bersalah oleh MT Umno, maka saya akan mengulaslah serba sedikit. Dan perlu diingat, ini hanya pandangan peribadi saya semata-mata.

Siapakah penduduk asal negara ini/tanah ini? Jika ditanya - saya sendiripun tak pasti. Sebabnya tiada sejarah lengkap bertulis yang betul-betul solid yang menceritakan siapa sebenarnya penghuni tanah ini samada sebelum masihi atau awalnya lagi. Namun saya ada juga belajar sikit-sikit dulu(masa kat UIA), berdasarkan beberapa buah buku. Antara contoh, “Suma Oriental” ,“Sejarah Melayu-Tun Sri Lanang”. Dan lagi buku “A’jaibul Hind”(yang ini femes nih) dan juga “Rehlah Ibn Battutah”. Banyak lagi sebenarnya cuma tak berapa solid dan saya pun dah LUPA.Dan kalau nak dasyat lagi adalah buku karangan Prof Arysio Santos-The Last Continent Finally Found, berkenaan bahawa sebenarnya tanah ini adalah milik puak-puak Atlantis yang telah hilang itu!!

Walaubagaimanapun, dari pembelajaran dalam kelas dahulu, kami akhirnya bersetuju bahawa penghuni tanah ini pastilah “orang yang berhijrah” dan menetap serta berasimilasi dengan penduduk asal tanah ini. Yang akhirnya melahirkan rumpun bangsa “Melayu”.

Berbalik pada tajuk asal, jadi siapakah kaum-kaum pendatang ini? Hal ini bermula sejak zaman Melaka menjadi “Venice Timur” lama dahulu. Dan datanglah orang-orang cina dari China, dan orang India dari India, dan orang arab dari Yaman. Dan bergaullah mereka bersama penduduk melayu yang telah pun sedia ada lama sebelum mereka itu di sini. Arakian setelah sekian lamanya- bahkan ada yang sejak zaman Zheng He / Cheng Ho dahulu- maka mereka telah –secara otomatiknya diiktiraf menjadi penghuni tanah air ini. Dan masa saya belajar dahulu, jika atuk kamu orang sini,bapa kamu orang sini,kamu pun duduk sini, maka sinilah kampong kamu, dan tanah air kamu. Dalam erti kata lain – KAMU BUKAN PENDATANG!

Maka apa yang dikatakan oleh DAI(Dato Ahmad Ismail) tidak lah benar mengatakan bahawa orang cina adalah pendatang. Manakala dari segi “hak-hak melayu” pula adalah kerana ada dalam perlembagaan dan bukan secara total – yang bermaksud ia boleh dipinda. Saya susah hati apabila ada orang seperti DAI yang cakap seperti itu dan bermaksud pula melaga-lagakan penduduk Malaysia ini. Jika saya lah PM, dah lama saya persilakan DAI ke penjara.

Kenapa agaknya dicakap hal yang karut ini?dan dari mana pula beliau mendapat ilham supaya berkata demikian dalam bulan Ramadhan-yang dah tentunya Syaitan terikat sekarang ini?

Saya merasakan bahawa beliau berkata demikian mungkin kerana rasa sakit hati dengan sesetengah orang-orang cina, atau mungkin perasaan bahawa tanah air ini telah dimonopoli oleh orang cina dan merasakan melayu tidak selamat. Jika ya, maka bukanlah sepatutnya ia dicakap masa pilihanraya! bukankah lebih baik bersemuka dan bagitau secara terang apa yang tidak puas hati dan cadangkan sekali penyelesaiannya.

Maka semua kekacauan ini pastilah tidak berlaku, dan nama baik melayu tidak kotor, dan lebih-lebih pula nama ISLAM tidak busuk hanya kerana ada penganutnya bersikap seperti mencurah minyak kedalam api..