Jumaat, 24 Julai 2009

Perpindahan..lagi..

Sudah lama tidak menulis / update blog ini..terasa seperti kisah hidup ada kelompongan dan kekosongan sepanjang beberapa bulan yang lepas. Pelbagai perkara yang terjadi tidak dapat direkod dan dinukil disini – ia amat mendukacitakan..


Saya berpindah lagi, kali ini ke bandar pancuran air Puncak Alam (tapi ada juga yang kata Bandar TAPIR..hoo). Berpindah pada bulan april 2009, kerana opis juga berpindah ke Saujana Utama Sungai Buloh. Pada awalnya memanglah terasa asing dan kekok, ye lah sebelum ini tinggal di tengah kota yang hiruk pikuk tetapi sekarang tinggal ditempat yg jauh dari kota bahkan terasa hidup seperti di celah belantara pula(banyak hutan lagi disini)..

Satu perkara yang menjadi keanehan dan persoalan di minda ialah penduduk di sini. Jika diperhatikan, kereta dan motor memang banyak terutama di kawasan apartment saya ini, namun orangnya amat sedikit sebenarnya(monyet2 dibukit itu lebih ramai dari orang..hoh)di blok saya hanya ada beberapa orang sahaja penghuni..ini kelihatan jelas bila malam kerana banyak rumah yang gelap menandakan tiada orang, dan terdapat banyaknya iklan yang ditampal di jendela bertulis “ FOR SALE OR RENT”! mungkin perkara ini akan berubah tidak lama lagi memandangkan UiTM kampus Puncak Alam telah dibuka bulan may lepas..

Sejak berpindah ini, saya dan rakan2 di dalam syarikat telah berusaha sehabisnya dalam mencari nafkah untuk menyara kehidupan dan mencari belanja bagi menampung kos syarikat. Sedia maklum, apabila kita berpindah maka akan ada kos yang tinggi dari segi logistik dan kos hangus termasuk wiring,baik pulih dan lain-lain..perpindahan memang tidak dapat dielak memandangkan kos operasi yang meningkat di tempat lama dan ada juga sebab-sebab lain..

Maka dalam keadaan yang tertekan dan memaksa ini, sedikit sebanyak ia melalaikan saya dari tugas sebenar yang perlu dilakukan terhadap umat. Beberapa undangan kenduri - baik kenduri kahwin atau kenduri arwah, mesyuarat persatuan penduduk, mesyuarat ahli Tepi Tingkap dan usrah keagamaan tidak dapat saya hadiri atau jarang benar dapat hadir. Dan yang lebih menyedihkan, solat berjemaah di surau atau masjid juga saya sering kelewatan dan banyak kali juga hanya solat berseorangan.

Mengenang kehidupan sendiri yang terumbang ambing sejak beberapa bulan ini, kekadang sedih juga hati saya. Memanglah rezeki itu bertambah-tambah sejak berpindah, tetapi sebagai timbal baliknya, masa pula kesuntukan dan badan juga terasa amat penat hinggakan saya jarang menunaikan tanggungjawab didalam masyarakat sekeliling..mungkin iman saya yang tidak cukup kuat,(oh..maafkan aku ya-Allah) ya.. mungkin!

Seorang rakan menasihatkan saya dengan bercerita tentang seorang lelaki dan kereta ferrarinya. Satu hari si lelaki ini sedang memecut kereta Ferrari beliau di jalanraya. Sedang kereta meluncur laju tiba-tiba cermin kereta beliau telah dibaling batu oleh seorang budak di tepi jalan. Dengan nafsu marah yang membuak,dengan mendidihnya hati dan berbekalkan sebatang kayu golf yang tersimpan di dalam kereta, si lelaki memberhentikan kereta lalu meluru keluar ingin membantai budak yang membaling batu tadi..tetapi alangkah terkejutnya beliau, sebaik sahaja ingin memukul, budak tadi dengan bersegera dan bersungguh-sungguh mencium tangan beliau sambil mengucapkan terima kasih berkali-kali. Dalam kebingungan, beliau bertanya kenapa..sambil air mata berjejeh budak tadi berkata : “ terima kasihlah bang sebab berhenti , dari tadi saya menahan kereta namun tidak satu pun yang berhenti . saya nak minta tolong, ayah saya lumpuh dan beliau sedang sakit kuat sekarang..bolehkah abang tolong hantar ke hospital? ” terdengar kata-kata itu, terasa hibalah hati lelaki tadi dan di tolongnya bapa budak tadi…END OF STORY..

Mungkin cerita ini hanya rekaan rakan saya semata. Namun jauh di di sudut hati saya merasakan ia memang ada benarnya..kita bergerak terlalu pantas dalam mengejar keselesaan untuk diri sendiri hingga terlupa yang orang di sekeliling kita sedang bergelut kesusahan. Kita lihat mereka merintih dan meraung meminta tolong, namun atas nama keselesaan diri,kita pekakkan telinga dan pura-pura tidak nampak mereka.

Saya insaf bila mengenang perpindahan yang berkali-kali saya lalui ini. Saya sedar bahawa perpindahan memang akan terus berlaku sepanjang kehidupan ini..hinggalah satu hari nanti kita akan berpindah ke tempat yang kekal abadi, tempat untuk berehat bagi hamba-hamba yang taat, atau tempat seksa bagi hamba-hamba yang engkar..tempat yang terbaik dan terindah bagi mereka yang soleh atau tempat yang terburuk dan tercela bagi mereka yang berdosa…

Firman Allah Ta’ala :
56. Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan kami, Kami akan membakar mereka Dalam api neraka. tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit Yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. dan (ingatlah) Sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
57. dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke Dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa dinaungi.

[An-Nisa 4 :56-57]

Jumaat, 12 Disember 2008

Allahuakbar!

Semasa hari raya Qurban yang lepas, saya merayakan bersama ahli qariah di taman saya sahaja dan tidak pulang ke kampong. Masjid di tempat saya nih-Masjid Salahuddin Al-Ayubi (taman melati) memang sentiasa penuh dengan jemaah. Jika tuan-tuan pergi utk solat subuh pun paling tidak 4 saf mesti ada. Tapi yang meramaikan bukanlah jemaah dari Malaysia tapi dari Afrika, kerana ramai sungguh bangsa mereka ini di sini..Alhamdulillah, Malaysia memang bumi bertuah!

Apa yang membuat saya terharu ialah apabila semua jemaah bertakbir, bertahmid dan berzikir bersama, dari lepas subuh hinggalah solat sunat AidilAdha..sebenarnya saya nak angkat punggung dah bila lepas solat subuh, tapi dek kerana hujan yang mencurah-curah di luar maka pagi raya itu, maka saya hanya berkain pelekat petak2 dan t-shirt oren sahaja pagi raya itu(walaupun baju raya dah seterika).

Ketika bertakbir itulah saya insaf bahawa betapa KECILnya Allah dalam hati kita(saya) selama ini. Cubalah kita sama-sama renungkan, setiap kali azan berkumandang, tidak pula kita bergopoh-gapah pergi ke masjid untuk solat berjemaah, atau jika sedang menonton tv maka Allah boleh saja kita ketepikan dengan alasan cerita di tv lagi best, atau semasa solat kita sering terfikir benda lain, fikiran melayang entah kemana, bilangan rakaat pun boleh terlupa dan semua ini berlaku setelah kita melafazkan ‘ALLAHUAKBAR’ pada awalnya solat kita.

Beberapa tahun yang lepas, saya pernah bertanya seorang paderi kenapa beliau bersungguh pindah dari Negara asalnya dan menetap disini serta mengorbankan semua harta benda beliau demi membangunkan chapel(church) beliau di sini.beliau menjawab, dengan nada tenang tapi tegas

“ All the thing i did, all the sacrifice I’ve made is for the love of Mighty Jesus!!”

Saya cukup terperanjat sebenarnya bila mendengar kata-kata itu. Alangkah besarnya Jesus dalam hati beliau, sehingga apa sahaja yg beliau ada telah dikorbankan untuk ‘tuhan’ beliau, tetapi kita- orang Islam, hanya diminta untuk berzakat, seribu dalihnya, bila diminta untuk bersolat jemaah di masjid , berjuta pula alasannya, bila diminta untuk berpesan2 kepada kebaikan dan kebenaran, berbilion lagi alasannya..oh, saya katakan ini telah terkena pada batang hidung sendiri sebenarnya. Mulut saya yang bercakap, telinga sayalah yg paling hampir mendengarnya, tangan saya menulis, mata sayalah yg paling hampir melihatnya..

Saya kecewa melihatkan sesetengah dari kita beriya-iya benar ingin menubuhkan Negara Islam, sehingga apa sahaja cara, yang baik-yang tak baik, yang halal-yang haram, yang sunnah-yang bida’ah, semua nya digunakan dan boleh pula digunapakai demi menegakkan pemerintahan Islam di Malaysia. Kita seolah diajar untuk membangunkan sebanyak masjid yang boleh, malangnya kita tak diajar, dididik, diseru untuk meramaikan jemaah di dalam masjid. Akibatnya masjid yang besar2 itu kosong, hanya ada beberapa kerat org tua yg dh separuh uzur memenuhinya, manakala org2 muda pula nyenyak tidur akibat keletihan malam tadi mendengar ceramah sambil memaki hamun dan diselitkan dengan kalimah Takbir!

Kecilnya Allah dalam hati kita…bila bertakbir- ALLAHUAKBAR- tidak pula bergentar hati, tidak pula tersentap hati, tidak pula terbayang MATI, kerana malangnya fikir kita semua adalah fikiran orang munafik belaka. Kita menyangka, dengan solat di rumah, sama sahaja dengan solat di masjid, dan solat dimasjid itu hanyalah sunat sahaja. Kita(saya sebenarnya) sering menganggap bahawa orang lain akan memenuhkan masjid untuk solat 5 waktu, tetapi hakikatnya SEMUA orang berfikir bagaimana kita fikir, akibatnya masjid hanya tinggal kenangan dalam memori orang Islam, dan menjadi seperti Rumah Kenangan, kerana yg hadir veteran2 belaka. Inilah fikir orang munafik sebenarnya, apabila Abdullah Ubay dan golongannya diseru untuk berjihad, mereka memberi alas an tidak mahukan Ghanimah, bila di seru untuk solat jemaah di masjid, dikatanya hanya sunat sahaja. Tetapi, tuan2, tahukah semua, bahawa Rasulullah tidak pernah tinggal solat jemaah di masjid? Ia bukan sunat, tetapi sunnah! Solat itu wajib, tetapi cara solat itu wajib mengikut sunnah..Sunat-ditinggal kan rugi,tak dapat pahala, Sunnah – ditinggal akan rugi sebab Nabi tak mengaku umat! Besar perbezaan bukan?

Kalimah Allahuakbar telah menjadi mainan dibibir manusia tanpa mereka menunaikan hak disebalik kalimah itu. Sambil memaki-maki hamun, sambil mencerca pemimpin, sambil mencarut-marut, sambil menghina saudara Islam mereka, sambil melaungkan akan menegakkan Negara Islam, mereka selitkan dengan kalimah yang digunakan oleh malaikat Zabaniah semasa ingin memikul Arasy. Mereka (dan saya) hanya menjadi burung kakak tua yang berkata-kata tetapi tidak mengerti apa yang dikatakan. Saya insaf dan sedar bahawa apa yang saya tulis mungkin mengguris hati sebahagian sahabat saya yg berfahaman politik sedemikian, namun ketahuilah, saya tidak menghina atau menghentam saudara sekalian, saya menulis atas kesedaran saya dan atas kelemahan saya sendiri. Jika tidak benar perkara ini, maka marilah kita sama-sama membesarkan Allah di hati, bukan mencerca, bukan memaki atas sebab kecilnya Allah di hati mereka.

Kecilnya Allah dalam hati kita..sehingga kita menjadi kikir dan kedekut masa dengan Allah yg menjadikan dan mengatur alam. Untuk solat jemaah di masjid pun kita tiada masa. Bagi laki2 yang sudah mencapai akil Baligh, tidak boleh tidak dituntut untuk solat 5 waktu di masjid. Manakala bagi yang perempuan pula boleh solat dirumah. Jika ingin suami solat bersama isteri, maka bolehlah mengerjakan solat sunat bersama2..pelbagai solat sunat boleh dibuat bersama, tahajjud, taubat, tasbih..ini akan mengangkat darjat suami dan mengeratkan perhubungan. Jangan diberi alas an:

“ saya solat dengan isteri dirumah, menjadi imam untuk anak2..bukankah itu baik?”

Saya katakan, tidakkah imam masjid juga ada keluarga?tidakkah bilal masjid juga ada keluarga?habis siapa pula akan pergi ke masjid?jika semua orang-SEMUA orang pun fikir seperti kita, tidakkah kita sama sahaja seperti masyarakat di Bosnia sebelum perang dahulu(rakan saya dari bosnia dahulu beritahu, masjid hampir2 kosong sebelum berlaku perang, semua pakat solat sendiri/x solat langsung!) habis nanti jika kosong masjid2 kita (dah pun berlaku di beberapa tempat) maka adakah kita akan berkata :

“lihatlah orang Islam sekarang, ramai tak pegi masjid..masjid lawa, besar, megah dan cantik tetapi tiada orang..huh, membazir semua ini!”

Janganlah diucap perkara demikian, sedang kita lah sebenarnya yang menambah statistic mereka yang mengosongkan masjid. Kerana KITA lah masjid telah menjadi kosong. Tolonglah tuan2 semua banci, dalam 1 hari berapa ramaikah yang bersolat di masjid, maka tuan2 akan sedar dan tahu, parah atau tidakkah pegangan umat Islam di Malaysia ini.

Betapa BESARnya Allah, sehingga tidak memerlukan kita untuk membesarkan Nya, dan betapa Mulianya Allah, sehingga tidak perlukan kita memuliakanNya..sungguh Allah tidak perlu kepada kita tetapi, kitalah yang amat perlukan Allah. Setiap daun yang gugur di hutan, setiap pasir yang berlaga di lautan, semua adalah atas Kehendak, Kudrat,Izin dan Perintah Allah Ta’ala..ALLAHUAKBAR!

Jumaat, 12 September 2008

Kaum-Kaum Pendatang 2

Saya orang melayu dan amat berterima kasih pada kerajaan kerana membela nasib kami, sehinggalah saya berjaya dalam pelajaran. Mungkin juga ini jasa Umno dan pakatan perikatan. Namun sekali-kali tiada hak kita mengatakan orang lain pendatang, sedang orang itu ada Kad Pengenalan Warganegara Malaysia!

Saya fikir, kita mungkin tidak sedar bahawa sesungguhnya memanglah kita semua ini hanya pendatang sahaja. Dan semua yang kita miliki akan ditinggalkan jua. Seperti lagaknya si pengembara, berehat sebentar di bawah pohon, demi mendapat tenaga untuk meneruskan perjalanan. Begitulah konsep yang saya faham berkenaan kehidupan didalam Islam. Allah menugaskan kita sebagai “Khalifah” - yang bermaksud pentadbir-jika bukan mentadbir negara sekurang-kurangnya diri sendiri dan keluarga. Dan kita juga sebagai “Hamba”- iaitulah hamba Allah, ikut segala perintahnya dan jauhi larangannya. Jika kita khianat pada janji ini, (Shahadah) maka akan dibalas nanti oleh Allah di Akhirat. Selalu di dalam khutbah Jumaat di kampong saya (Kota Tinggi) saya mendengar, khatib(tukang khutbah) berkata :

“Wahai sekalian Muslimin, ingatlah! Dunia ini hanya tempat tumpangan semata-mata, akhirat jualah tempat yang kekal abadi selama-lamanya..”

Seperti juga Temujin/Genghis Khan, apabila ditanya kenapa menjajah tanah yang sangat luas terbentang, sedang mati nanti hanya perlukan tanah yang sedikit untuk menguburkannya, maka beliau tidak menjawab. Kita haruslah sedar, bahawa dunia ini hanya transit untuk ke akhirat. Maka perebutan tentang tanah transit ini amat merugikan dan membuang masa. Jika ia adalah hak kita, contoh, orang ambil hak kita dan niat menjahanamkan kita, maka kita wajib mempertahankannya, walau dengan apa cara sekalipun. Namun kita janganlah melampaui hak yang telah Allah berikan pada kita.

Dengan mudahnya mengatakan sesetengah kaum sebagai pendatang dan mengharap pula mereka mencurahkan usaha pada pembangunan tanah air ini, bukanlah dipandang sebagai orang yang berakhlak. Tanah ini milik pada siapa yang membangunkannya. Lihatlah pada dunia keliling kita- siapa yang berusaha menabur budi pada tanah-maka tanah akan membalas kembali. Siapa yang berusaha- insya-Allah berjaya. Sebab itulah tanah Kota Kiev itu dahulu( milik bangsa Ukraine) diperintah oleh raja dari keturunan Rusia. Dan lihatlah bagaimana Poland satu ketika dahulu dimonopoli oleh orang-orang yahudi, dan lihatlah bagaimana Jerusalem itu dahulu diperintah oleh orang-orang Rom, dan lihatlah bagaimana pula Singapura yang dahulunya tanah orang-orang melayu diperintah oleh orang cina.

Demikianlah contoh yang telah saya berikan. Jumlah yang sedikit belumlah tentu kalah, manakala jumlah yang besar bukanlah ukuran kejayaan. Jika kita –orang-orang melayu tidak memperkasa diri, membangun diri, dan tidak berusaha sendiri -dan bersungguh-sungguh seperti yang diajar oleh Rasulullah S.A.W, maka kita juga akan kalah dan dikuasai oleh orang lain. Tiada salah mereka yang berjaya dalam hal ini. Kita tak boleh sakit hati dengan mereka yang kaya. Bahkan jika mereka boleh kaya dan berjaya membina empayar kenapa kita tak boleh? Seperti yang disebut-punca kegagalan ialah kerana kurangnya impian dan tersangat pula kurangnya usaha.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita bangunkan diri kita. Bermula dengan ilmu dan berusalah dengan tulang 4 kerat demi mengubah nasib kita dan menjadi tuan pada tanah ini. Sudah cukup lama kita menyaksikan orang lain yang menjadi tuan, orang lain yang kaya, orang lain yang pakai kereta mewah, orang lain yang duduk rumah besar, sudah sampai masa kitalah -diri kita sendiri- yang patut menjadi tuan pada tanah ini.

Berusahalah dengan sekuat-kuatnya dan bertawakkal lah pada Allah. Janganlah asyik mengata orang, yang mereka tidak setaraf dengan kita, sedang kita ini pula secara realitinya tiadalah lebih baik dari mereka. Tiadalah mulia dan hebatnya bangsa melayu ini, jika kita tidak bersungguh-sungguh mengubahnya. Kita harus belajar dari mereka yang berjaya dan menjadikan mereka guru kita. Mudah-mudahan, kita akan berjaya seperti mereka juga.

Dan akhirnya, saya berdoa agar bumi Malaysia ini akan sentiasa aman makmur, dan menjadi contoh kepada negara lain, walaupun hidup berbilang suku kaum dan agama. Kerana kita akhirnya, pastilah akan kembali kepada Allah, dan dihitung segala amal-baik dan buruk. Janganlah hendaknya bangsa-bangsa di Malaysia ini terlalu ikutkan hati dan perasaan amarah, kerana yang akan rugi dan binasa, ialah diri kita sendiri..

Kaum-Kaum Pendatang 1

Malaysia, kebelakangan ini sering berlaku perkara-perkara yang menduga kesabaran penduduknya. Dan yang terbaru ialah berkenaan Dato’ Ahmad Ismail. Saya tidak bercadang menulis perkara ini sebenarnya, sebab tak mahu blog ini dikotori dengan picisan politik. Tapi memandangkan beliau telah pun diputus bersalah oleh MT Umno, maka saya akan mengulaslah serba sedikit. Dan perlu diingat, ini hanya pandangan peribadi saya semata-mata.

Siapakah penduduk asal negara ini/tanah ini? Jika ditanya - saya sendiripun tak pasti. Sebabnya tiada sejarah lengkap bertulis yang betul-betul solid yang menceritakan siapa sebenarnya penghuni tanah ini samada sebelum masihi atau awalnya lagi. Namun saya ada juga belajar sikit-sikit dulu(masa kat UIA), berdasarkan beberapa buah buku. Antara contoh, “Suma Oriental” ,“Sejarah Melayu-Tun Sri Lanang”. Dan lagi buku “A’jaibul Hind”(yang ini femes nih) dan juga “Rehlah Ibn Battutah”. Banyak lagi sebenarnya cuma tak berapa solid dan saya pun dah LUPA.Dan kalau nak dasyat lagi adalah buku karangan Prof Arysio Santos-The Last Continent Finally Found, berkenaan bahawa sebenarnya tanah ini adalah milik puak-puak Atlantis yang telah hilang itu!!

Walaubagaimanapun, dari pembelajaran dalam kelas dahulu, kami akhirnya bersetuju bahawa penghuni tanah ini pastilah “orang yang berhijrah” dan menetap serta berasimilasi dengan penduduk asal tanah ini. Yang akhirnya melahirkan rumpun bangsa “Melayu”.

Berbalik pada tajuk asal, jadi siapakah kaum-kaum pendatang ini? Hal ini bermula sejak zaman Melaka menjadi “Venice Timur” lama dahulu. Dan datanglah orang-orang cina dari China, dan orang India dari India, dan orang arab dari Yaman. Dan bergaullah mereka bersama penduduk melayu yang telah pun sedia ada lama sebelum mereka itu di sini. Arakian setelah sekian lamanya- bahkan ada yang sejak zaman Zheng He / Cheng Ho dahulu- maka mereka telah –secara otomatiknya diiktiraf menjadi penghuni tanah air ini. Dan masa saya belajar dahulu, jika atuk kamu orang sini,bapa kamu orang sini,kamu pun duduk sini, maka sinilah kampong kamu, dan tanah air kamu. Dalam erti kata lain – KAMU BUKAN PENDATANG!

Maka apa yang dikatakan oleh DAI(Dato Ahmad Ismail) tidak lah benar mengatakan bahawa orang cina adalah pendatang. Manakala dari segi “hak-hak melayu” pula adalah kerana ada dalam perlembagaan dan bukan secara total – yang bermaksud ia boleh dipinda. Saya susah hati apabila ada orang seperti DAI yang cakap seperti itu dan bermaksud pula melaga-lagakan penduduk Malaysia ini. Jika saya lah PM, dah lama saya persilakan DAI ke penjara.

Kenapa agaknya dicakap hal yang karut ini?dan dari mana pula beliau mendapat ilham supaya berkata demikian dalam bulan Ramadhan-yang dah tentunya Syaitan terikat sekarang ini?

Saya merasakan bahawa beliau berkata demikian mungkin kerana rasa sakit hati dengan sesetengah orang-orang cina, atau mungkin perasaan bahawa tanah air ini telah dimonopoli oleh orang cina dan merasakan melayu tidak selamat. Jika ya, maka bukanlah sepatutnya ia dicakap masa pilihanraya! bukankah lebih baik bersemuka dan bagitau secara terang apa yang tidak puas hati dan cadangkan sekali penyelesaiannya.

Maka semua kekacauan ini pastilah tidak berlaku, dan nama baik melayu tidak kotor, dan lebih-lebih pula nama ISLAM tidak busuk hanya kerana ada penganutnya bersikap seperti mencurah minyak kedalam api..

Ahad, 31 Ogos 2008

Bulan ke-9 dalam kalendar Islam

Ramadhan ialah bulan yang disifatkan Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah RA, sabda baginda “ Apabila tibanya Ramadhan, maka akan dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan.”

Berdasarkan penjelasan Rasulullah SAW ini, bolehlah dikatakan bahawa sesiapa yang mengerjakan kebaikan, amal soleh dan sedekah jariah di bulan ini, maka akan beroleh pula ganjaran pahala yang besar dari Allah. Di Malaysia ini, orang-orang Islam sudah tentu akan dilihat berduyun-duyun pergi ke masjid pada waktu malam untuk menunaikan solat sunat Terawikh. Kebiasaannya masjid akan penuh sesak dengan manusia pada malam sepanjang minggu pertama puasa, dan keadaan akan bertambah reda dan surut dan akhirnya lengang dan sunyi sepi di akhir-akhir Ramadhan. Ini merupakan perkara ‘standard’ yang berlaku di Malaysia!

Setelah saya perhatikan, orang-orang Islam di Malaysia memang kuat pegangan agamanya, namun tiada istiqamah(berterusan mengamalkannya)semasa menjalani sesuatu ibadat khusus- termasuk puasa dan solat. Kita memang wajib berpuasa- bagi yang mampu- dan tiada dolak dalik pula dalam mengerjakannya. Namun kita terlupa barangkali, bahawa ibadat puasa akan menjadi sia-sia jika kita tidak berubah perangai berbanding hari-hari sebelum puasa. Jika kita masih melengahkan solat( bahkan ada yang sengaja tinggalkan solat), masih mengutuk,mengeji,menyebar fitnah, menghina, menimbulkan permusuhan sesama manusia, tidak amanah pada kerja, berkata bohong dan sebagainya – kita sebenarnya tidak mendapat manfaat pun daripada bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Bahkan ia menjadi kutukan dan kejian pula ke atas kita. Yang kita dapat hanya lapar dan dahaga semata. Dan ia memang amat merugikan..

Sewaktu berbuka puasa pula memang kita takkan kalah berbanding dengan orang lain. Juadah berbuka yang melampau banyaknya, air yang berjenis-jenis warna dan rasanya, serta nafsu untuk ‘melantak’ sepuas hati , telah menguasai diri dan pertimbangan, hinggakan asal ada duit di poket maka ia akan kita gunakan untuk membeli makanan, walaupun dah tak cukup tangan nak bawa!. Saya tahu ini kerana saya ialah salah seorang peniaga di pasar Ramadhan( sejak tahun 2004, namun tahun ini tak berniaga-tak dapat tapak!). Kekadang saya rasa ngeri pula tengokkan cara berbelanja orang-orang Islam sewaktu ingin berbuka, seperti esok tidak ada lagi, SUNGGUH!!!

Berpuasa bukan hanya menahan diri dari lapar dan dahaga, namun ianya ialah peluang supaya kita dapat mengubah perangai kita supaya menjadi baik dan dapat pula merasai bagaimanakah perasaan orang miskin yang kelaparan. Kita diajar agar menghargai setiap rezeki yang Allah kurniakan, dan berlaku baik, adil dan tutur kata yang sopan terhadap orang lain. Tetapi kita yang memang pelupa ini terus melupakan ajaran guru-guru, ustaz-ustaz dan ibu bapa kita. Bulan yang mulia dan penuh barakah telah menjadi bulan yang ‘Gila Makanan’, penuh kesusahan dan menjadi celaan kita sendiri.

Akhirnya, marilah sama-sama kita merobah perangai agar menjadi Muslim yang beramal soleh. Marilah kita sambungkan ukhuwah sesama kita dan berbuat baiklah pada orang lain. Jadikanlah diri kita sebagai contoh yang baik kepada semua manusia. Mudah-mudahan kita akan beroleh rahmat Allah…

Khamis, 24 Julai 2008

Kemiskinan Bukan Lesen Untuk diHina

Sudah berabad rasanya saya tak menulis di blog ini. Jangan kata ingin update, nak akses internet pun tiada masa. Kerja saya yang sering keluar daerah memang satu yang memenatkan namun tak boleh dielakkan..yelah, kalau tak bekerja, nak makan apa pula nanti(ini bukan kes ulat dalam batu pun boleh hidup, saya bukan ulat). Oleh yang demikian diharapkan rakan sekalian usah bimbang, kerana saya masih menulis dan tidak bercadang berhenti menulis di blog.

Baru-baru ini saya berpeluang pergi ke satu pejabat yang bertanggungjawab menguruskan mengenai pemberian bantuan kewangan kepada gologan fakir miskin. Sementelahan juga saya terlibat dalam menjalankan program yang dirancang oleh mereka.

Apa yang menarik perhatian saya adalah berkenaan staff yang bertugas disitu(nama dirahsiakan atas dasar aib). Semasa saya datang kesitu atas urusan kerja, saya seolah-olah tidak ada(ghaib). Tiada seorang pun yang menegur saya bahkan lebih teruk tiada yang memandang saya pun!!alahai..terasa benar kehinaan yang ditanggung..sehinggalah saya sendiri yang bertanya kepada mereka, barulah mereka melihat muka saya dan itupun dengan muka yang tak berapa ‘ceria’, ala kadar je..

Setelah saya beritahu mereka yang kehadiran saya adalah berkaitan program yang ingin dilaksanakan, barulah mereka bersungguh-sungguh melayan saya dan mempersilakan saya duduk. Sungguh hairan, kenapa pula tiba-tiba berubah perangai. Tadi buat-buat tak kenal, sekarang pula dilayan baik. Namun akhirnya saya dapat juga jawapannya. Sementara menunggu giliran untuk berjumpa pegawai bertugas, ada beberapa orang yang datang kesitu, dan seperti juga saya pada awalnya, mereka tidak dilayan atau pura-pura tidak kelihatan..dan ternyata mereka yang datang itu adalah golongan yang ingin minta bantuan. Staff bertugas hanya memandang sinis sahaja mereka dan bersikap acuh tak acuh sahaja.

Terperanjat saya, melihatkan begitu teruk penghinaan yang ditanggung oleh mereka. Saya merasa amat marah sehingga terasa mahu memarahi staff itu. Namun saya sabarkan hati dan berusaha membuat ayat nasehat dan teguran yang membina agar boleh diberikan pada staff terbabit. Setelah urusan saya selesai, barulah saya berkesempatan memberi ceramah pada staff itu dan memberitahu beliau, jika inilah perangai nya, maka baik berhenti sahajalah!

Pada pandangan saya, staff itu telah melakukan kesalahan tatatertib dan tidak jujur pada amanah yang telah diberikan padanya. Ini kerana : 1- beliau tidak mengalu-alukan sesiapa pun yang datang ke pejabat itu melainkan setelah dapat tahu siapa mereka sebenarnya. 2- terbit rasa angkuh dan megah atas jawatan yang dipegang. Beliau kira tanpa beliau, si miskin ini pastilah terus melarat dan ini menyebabkan beliau rasa beliau perlu diagungkan!!

Sesungguhnya kita telah berlaku zalim jika tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dalam hal ini, jika yang hadir adalah golongan fakir miskin maka adalah menjadi HAK mereka untuk mendapatkan bantuan yang secukupnya dari pihak terbabit. Mereka bukan golongan kelas bawah atau tiada kelas, Cuma keperluan hidup mereka tidak cukup!

Tiada manusia dilahirkan hina dan tiada sesiapa yang patut rasa mereka lebih mulia dari orang lain hanya bersandarkan kewangan dan harta benda. Dosa besar jika kita merasakan golongan miskin adalah beban yang perlu ditanggung atau ‘biawak’ yang perlu dibela. Tiada sesiapa mahu dilahirkan papa kedana dan tiada siapa tidak mahu hidup senang. Namun dengan menganggap kita lebih baik dari orang lain hanya kerana orang itu miskin adalah satu perasaan keji dan amat hina.

Bolehkah kita membayangkan jika kita mempunyai anak ramai, dan kerja pula tidak cukup makan. Tambah pula isteri tak bekerja dan anak-anak semua sekolah lagi. Satu hari kita kemalangan dan meninggal dunia. Apa akan berlaku pada anak dan isteri kita?kemana mereka mengadu nasib dan hidup? Apakah kita menyangka bahawa kita akan sentiasa kaya dan kekal hidup selamanya?apakah kita merasakan yang miskin, tidak mampu dan papa kedana itu orang lain dan ia mustahil berlaku pada kita?siapa pula yang dapat memberi jaminan ini?

Persoalan yang besar ini saya kira amat berat untuk kita fikirkan. Namun apa yang kita harapkan ialah mereka-mereka yang miskin tidak dizalimi hak mereka dan supaya mereka diberi penghormatan atas dasar kita adalah manusia biasa. Sesungguhnya mereka juga ada maruah dan kehormatan. Tidakkah kita ini zalim orangnya jika kita merendah-rendahkan mereka dan menghina mereka? Amat besar tanggungjawab mereka yang berada dalam institusi berkenaan. Bukan sekadar bekerja mencari nafkah, lebih dari itu adalah berusaha membantu golongan yang memerlukan, kerana siapa tahu, mungkin satu hari nanti, kita atau keluarga kitalah orang yang memerlukan itu.

Saya tidak menulis untuk menghina atau mengaibkan sesiapa dan mana-mana pihak. Saya tidak membuat fitnah atau mahu menambah fitnah yang semakin berleluasa sekarang. ia hanya satu pengalaman hidup saya dan terjadi atas diri saya. Ini adalah satu pengajaran yang sepatutnya kita sama-sama renungkan. Tiadalah hina seseorang berdasarkan hartanya, tetapi hinanya seseorang adalah kerana khianat pada amanah dan tidak berlaku adil pada sesama manusia.

Saya mengharapkan agar Allah menjauhkan kita semua dari segala sifat keji ,busuk hati serta angkuh, yang akhirnya, ia akan merendahkan martabat dan maruah diri kita sendiri...

Isnin, 30 Jun 2008

Kejatuhan Kerajaan Arabasta

(Artikel kali ini adalah hadiah saya buat penggemar komik tanah air. Ia merupakan percubaan saya dalam menyahut seruan seorang rakan supaya menulis berkaitan isu politik semasa.bagi tajuk yang berat2 tu, nantilah saya tulis..TQ)


Pernahkah anda membaca komik “One Piece”? saya sebenarnya suka membaca, jadinya yang paling menarik adalah komik(sebab ada gambar dan ceritanya menarik serta kelakar!)..hah, mungkin ada yang ketawakan saya tapi komik sebenarnya merupakan secebis medium dalam menyampaikan sejarah secara bersahaja, berlapik dan penuh humor.

Di dalam komik “one piece” siri Arabasta, Luffy dan rakan-rakan telah mengembara ke sebuah kerajaan padang pasir bernama Arabasta. Kerajaan ini sedang menghadapi kemuncak krisis perang saudara. Puak pemberontak telah menjadikan isu kekurangan makanan dan minuman sebagai alasan untuk memberontak, serta menyalahkan pihak istana kerana lambat bertindak sehingga ramai penduduk terkorban. Mereka juga membenci raja kerana menganggap raja hidup dalam keadaan mewah sedangkan rakyat hidup tersepit dan sengsara.

Tentera kerajaan yang setia mendokong raja pula beranggapan bahawa pemberontak telah menimbulkan isu yang tidak sepatutnya muncul. Ini kerana memang pada itu seluruh negara sedang menghadapi musim kemarau. Bahkan raja telah berhabis-habisan mengeluarkan harta negara sehingga kering-kontang stor makanan hatta makanan di istana, demi membantu rakyatnya yang menghadapi kesengsaraan hidup yang belum pernah berlaku sebelumnya. Raja juga menghadapi tekanan politik yang dahsyat daripada para ‘tycoon’ bisnes yang mengugut kerajaan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Apa yang tidak disedari oleh kedua-dua belah pihak ialah mereka telah di peralat oleh satu lagi pihak iaitu Pertubuhan Baroque Works ( B.W). Pertubuhan ini sebenarnya merupakan sebuah organisasi yang besar. Ahli-ahlinya terdiri dari para ‘tycoon’ bisnes, pegawai tentera kerajaan, golongan istana dan kalangan para pemberontak. Merekalah yang merancang melaga-lagakan rakyat dan pihak istana. Mereka juga menggerakkan pemberontak agar menentang istana dengan senjata yang mereka bekalkan.

Segala propaganda mereka, melalui bermacam media telah membuahkan hasil apabila jumlah golongan pemberontak sangat ramai menyaingi golongan pro istana. Pihak B.W juga membuat segala kejahatan mereka dengan alasan ia adalah arahan pihak istana. Walhal raja tidak tahu menahu tentang perkara itu. Ini menambahkan kebencian rakyat terhadap pihak istana dan raja sendiri.

Akhirnya pemberontakan besar-besaran telah berlaku dimana pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak telah berlaku di ibu kota. Beratus ribu rakyat telah terkorban dalam pertempuran itu. Mereka sama ada pemberontak atau tentera kerajaan berpegang pada slogan “ kita dipihak yang benar”. Walhal mereka tidak menyedari bahawa mereka semua telah diperalat dan diperdaya hingga memusnahkan negara mereka sendiri.

Saya menyedari bahawa cerita ini langsung tiada ilmiahnya kerana ia di cedok dari komik yang sudah tentu khayalan penulis semata. Namun tahukah anda bahawa sebahagian pemerintahan yang tumbang di dunia adalah disebabkan komplot dan konspirasi pihak yang dahagakan kuasa dan takhta, selain faktor pemerintahan yang zalim dan lemah. Anasir-anasir media juga memainkan peranan penting dalam menentukan nasib sesebuah negara. Lihat sahaja Rwanda. Kerana diapi-apikan oleh media dan sokongan kelengkapan militer oleh Perancis, kerajaan Hutu waktu itu telah melakukan penyembelihan beramai-ramai terhadap etnik minoriti Tutsi. Perang saudara 3 bulan = 1 juta rakyat terkorban!!

Saya berdoa agar negara Malaysia ini terhindar dari perang seperti negara lain dan tidak berlaku sebarang kekacauan sehingga menyebabkan rakyat sengsara dan hidup dalam ketakutan. Janganlah kita bertelingkah dengan melampaui had dan batasan. Sesungguhnya Allah tidak suka pada mereka yang melampaui batas…