Isnin, 30 Jun 2008

Kejatuhan Kerajaan Arabasta

(Artikel kali ini adalah hadiah saya buat penggemar komik tanah air. Ia merupakan percubaan saya dalam menyahut seruan seorang rakan supaya menulis berkaitan isu politik semasa.bagi tajuk yang berat2 tu, nantilah saya tulis..TQ)


Pernahkah anda membaca komik “One Piece”? saya sebenarnya suka membaca, jadinya yang paling menarik adalah komik(sebab ada gambar dan ceritanya menarik serta kelakar!)..hah, mungkin ada yang ketawakan saya tapi komik sebenarnya merupakan secebis medium dalam menyampaikan sejarah secara bersahaja, berlapik dan penuh humor.

Di dalam komik “one piece” siri Arabasta, Luffy dan rakan-rakan telah mengembara ke sebuah kerajaan padang pasir bernama Arabasta. Kerajaan ini sedang menghadapi kemuncak krisis perang saudara. Puak pemberontak telah menjadikan isu kekurangan makanan dan minuman sebagai alasan untuk memberontak, serta menyalahkan pihak istana kerana lambat bertindak sehingga ramai penduduk terkorban. Mereka juga membenci raja kerana menganggap raja hidup dalam keadaan mewah sedangkan rakyat hidup tersepit dan sengsara.

Tentera kerajaan yang setia mendokong raja pula beranggapan bahawa pemberontak telah menimbulkan isu yang tidak sepatutnya muncul. Ini kerana memang pada itu seluruh negara sedang menghadapi musim kemarau. Bahkan raja telah berhabis-habisan mengeluarkan harta negara sehingga kering-kontang stor makanan hatta makanan di istana, demi membantu rakyatnya yang menghadapi kesengsaraan hidup yang belum pernah berlaku sebelumnya. Raja juga menghadapi tekanan politik yang dahsyat daripada para ‘tycoon’ bisnes yang mengugut kerajaan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Apa yang tidak disedari oleh kedua-dua belah pihak ialah mereka telah di peralat oleh satu lagi pihak iaitu Pertubuhan Baroque Works ( B.W). Pertubuhan ini sebenarnya merupakan sebuah organisasi yang besar. Ahli-ahlinya terdiri dari para ‘tycoon’ bisnes, pegawai tentera kerajaan, golongan istana dan kalangan para pemberontak. Merekalah yang merancang melaga-lagakan rakyat dan pihak istana. Mereka juga menggerakkan pemberontak agar menentang istana dengan senjata yang mereka bekalkan.

Segala propaganda mereka, melalui bermacam media telah membuahkan hasil apabila jumlah golongan pemberontak sangat ramai menyaingi golongan pro istana. Pihak B.W juga membuat segala kejahatan mereka dengan alasan ia adalah arahan pihak istana. Walhal raja tidak tahu menahu tentang perkara itu. Ini menambahkan kebencian rakyat terhadap pihak istana dan raja sendiri.

Akhirnya pemberontakan besar-besaran telah berlaku dimana pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak telah berlaku di ibu kota. Beratus ribu rakyat telah terkorban dalam pertempuran itu. Mereka sama ada pemberontak atau tentera kerajaan berpegang pada slogan “ kita dipihak yang benar”. Walhal mereka tidak menyedari bahawa mereka semua telah diperalat dan diperdaya hingga memusnahkan negara mereka sendiri.

Saya menyedari bahawa cerita ini langsung tiada ilmiahnya kerana ia di cedok dari komik yang sudah tentu khayalan penulis semata. Namun tahukah anda bahawa sebahagian pemerintahan yang tumbang di dunia adalah disebabkan komplot dan konspirasi pihak yang dahagakan kuasa dan takhta, selain faktor pemerintahan yang zalim dan lemah. Anasir-anasir media juga memainkan peranan penting dalam menentukan nasib sesebuah negara. Lihat sahaja Rwanda. Kerana diapi-apikan oleh media dan sokongan kelengkapan militer oleh Perancis, kerajaan Hutu waktu itu telah melakukan penyembelihan beramai-ramai terhadap etnik minoriti Tutsi. Perang saudara 3 bulan = 1 juta rakyat terkorban!!

Saya berdoa agar negara Malaysia ini terhindar dari perang seperti negara lain dan tidak berlaku sebarang kekacauan sehingga menyebabkan rakyat sengsara dan hidup dalam ketakutan. Janganlah kita bertelingkah dengan melampaui had dan batasan. Sesungguhnya Allah tidak suka pada mereka yang melampaui batas…

Ahad, 22 Jun 2008

Catatan Diari Anak FELDA

Saya dibesarkan oleh datuk di sebuah Tanah Rancangan Felda, di selatan tanahair. Melihatkan rumah yang kami diami sekarang, saya terkenangkan hidup kami sekeluarga pada 20 tahun yang lepas.

FELDA ( Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) diasaskan pada 1 julai 1956 oleh Dato’ Razak (Tun Abdul Razak). Ia ditubuhkan dengan tujuan membantu golongan luar bandar yang hidup miskin, sekaligus membangunkan sektor perladangan berskala besar. Setiap peneroka FELDA diberi 10 ekar tanah pertanian dan suku ekar tanah untuk pembinaan rumah. Sehingga kini FELDA telah menjadi sebuah organisasi “raksasa” dengan keluasan tanah pertanian mencapai 2 juta ekar (800 000 hektar). Ia juga menjadi pengeluar minyak sawit utama dunia dan penyumbang kedua terbesar pendapatan negara selain Petronas.

Teringat dahulu membantu datuk di ladang. Ketika menyabit sawit, datuk akan suruh saya dan nenek diri jauh-jauh, takut nanti kena hempap pelepah sawit. Bukan sedikit bilangan peneroka yang mati dihempap kelapa sawit dan pelepahnya. Namun demi sesuap nasi, kerja mesti dilakukan. Saya akan menyorok dibelakang nenek setiap kali datuk menyabit. Habis menyabit, barulah saya membantu dengan memungut biji lerai yang bertebaran di sekeliling pokok. Memungut biji sawit memang kerja yang senang, tapi memenatkan dan berbahaya pula. Banyak kali juga saya terpegang ular yang sedang nyenyak tidur di celah-celah dahan sawit dan di lubang-lubang yang menjadi sarang mereka.

Saya juga membantu nenek mengambil air di sungai untuk bekal minum dan masakan. Kerana bekalan air paip belum ada ketika itu. Kami sekampung memang menjaga sungai supaya sentiasa bersih dan boleh digunakan untuk kegunaan harian. Waktu petang begini memang waktu kaum ibu berkumpul sambil ‘bergosip’ dan bercerita tentang kampong asal masing-masing. Manakala kami pula sibuk mandi dan bermain sakan sahaja.

Waktu malam adalah waktu yang amat dinantikan, kerana boleh menonton TV di rumah ketua blok. Ini kerana TV menggunakan kuasa bateri dan tidak boleh membazir, jadi hanya dipasang di waktu malam. Di kampong kami, hanya 4 buah rumah sahaja yang ada TV dan itupun hitam putih je..jadilah..saya yang ketika itu kanak-kanak riang, memang antara orang pertama sampai rumah ketua blok bersama rakan-rakan lain. Cerita apa yang di tonton tak tau pula, (dah tak ingat) yang syok adalah dapat tengok peti kayu yang boleh keluarkan gambar dan suara- Hebat!

Antara kenangan ‘kelakar’ saya adalah ketika makan malam bersama datuk dan nenek. Di bawah samar-samar lampu minyak tanah, saya ternampak ada satu ‘tulang ikan’ besar dilantai. Dahulu saya memang suka meratah tulang (sekarang pun), lalu saya cekut tulang itu dan ingin suap ke mulut. Belum sempat masuk mulut, ‘tulang’ itu bergerak-gerak dan mengledeng -kata orang kampong saya. Rupa-rupanya ia adalah lipan! Nasib baik nenek perasan lalu ditepis tangan saya sekuat hatinya. Kalau tidak mungkin arwah saya malam itu..haha..ngeri betul waktu tuh, namun kelakar pula bila teringat sekarang ini..

Walau sehebat mana rintangan yang dihadapi, walau sepayah mana kehidupan dilalui, namun saya tidak pernah melihat datuk dan nenek mengeluh dan meratap dalam mengharung kepayahan hidup. Mereka, seperti mana juga keluarga peneroka yang lain, mengharung hidup dengan tabah dan penuh sabar. Datuk sering mengingatkan agar saya belajar bersungguh-sungguh dan menjadi manusia berguna bila besar nanti. Mereka telah berkorban hidup demi Tanah Rancangan ini, dan menjadikan cita-cita Tun Razak menjadi kenyataan.

Hari ini, melihat rumah batu yang kami diami sekarang dan segala kemudahan asas yang cukup, saya amat terharu dan berterima kasih pada FELDA dan Allahyarham Tun Razak, atas visi besarnya dan usaha yang gigih dalam mengubah kehidupan rakyat luar bandar. Ia adalah antara gagasan kerajaan yang berjaya dilaksanakan dan memberi manfaat kepada lebih 112 000 keluarga di seluruh negara.

Saya juga menyedari, masih banyak lagi yang perlu dibuat FELDA dalam membantu golongan peneroka dan generasi penerus mereka, namun usaha ini akan gagal jika tiada perancangan rapi dan usaha yang bersungguh-sungguh dari semua pihak.

Demikian kita lihat, dengan visi yang besar, keyakinan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh kita mampu untuk mengubah kehidupan agar menjadi lebih baik. Kita boleh menjadikan sesuatu yang difikirkan mustahil pada awalnya - menjadi realiti. Meminjam kata-kata Tun Dr mahathir, “Hanya mereka yang cekal dan tabah, akan berjaya” – Insya-Allah…

Jumaat, 13 Jun 2008

Antara Daging dan Tulang

( tulisan ini merupakan satu ‘rayuan’ saya kepada pembaca-pembaca sekalian)


Sering sahaja kita ( terutama orang Melayu) apabila ingin berniaga atau bekerja sendiri mendapat bantahan atau tentangan keluarga. Alasannya tiada pencen, tiada kemudahan rawatan dan lain-lain sebab, yang sangat banyak jumlahnya kalau dihimpun.

“ Buat apa susah-susah nak kerja sendiri? ko ada modal ke? , makan gaji dengan gomen(kerajaan) sudahlah..Untung apa?.elaun dapat, pencen ada, loan kereta dengan rumah pun senang”

Ya, saya setuju juga pendapat ini. Namun saya kira ungkapan seperti ini tidak membantu bangsa kita untuk berdiri setanding dengan rakan-rakan dari bangsa lain di Malaysia. Orang yang mengatakan seperti ini telah “ membunuh secara terang-terangan” impian anak bangsanya yang ingin berusaha atas kaki sendiri, serta menyebabkan kita menjadi golongan yang kecil hatinya, rendah daya saing, lemah semangat dan terbatas impiannya.

Secara tidak langsung, kita sebenarnya mengharapkan agar anak bangsa kita mencontohi kucing. Biarkan tunggu sahaja tuan kita habis makan, nanti mesti dapat makanan juga. Kalau nasib baik, tulang yang diberi ada sedikit daging!

Saya tidak menulis ini dengan tujuan menghina atau merendahkan mana-mana binatang, sementelahan mereka juga makhluk ciptaan Allah. Dan tiada niat sama sekali menghina atau merendahkan mereka yang bekerja di sektor kerajaan (keluarga saya juga ramai yang bekerja kerajaan). Bahkan saya bersyukur dan berterima kasih pada mereka kerana bekerja bersungguh-sungguh demi kebaikan rakyat. Tanpa mereka yang bekerja dengan kerajaan sudah pasti kerajaan akan lumpuh dan negara huru-hara bukan?

Namun saya menulis artikel ini demi ‘merayu’ pada pembaca-pembaca budiman semua, agar anak-anak muda yang ingin bekerja sendiri dibantu dari aspek psikologi, diberikan semangat, diberikan nasihat, serta dihulurkan bantuan yang mana perlu. Dorongan dari keluarga, rakan-rakan dan masyarakat seluruhnya, mampu mengubah mentaliti kita agar tidak mengharapkan makanan hanya pada satu dulang sahaja, sedang banyak lagi dulang yang penuh makanan, menunggu kita untuk mengambilnya.

Kita tidak akan berjaya mencapai kejayaan jika kita tidak menguasai perasaan takut kepada kegagalan. Kenapa kita mesti takut? Sedang kita belum mencubanya. Adakah begitu kerdil dan rendah dirinya kita sehingga menganggap bahawa dengan bekerja sendiri dan berniaga, kita akan miskin dan tidak mampu menyara keluarga? Mengapa kita tidak menghayati kata-kata Rasulullah S.A.W yang memberitahu kita, bahawa 9/10 punca rezki adalah dengan berniaga dan berdagang? Bukankah orang Melayu juga sama tarafnya dengan semua manusia yang ada di muka bumi ini?

Saya mengharapkan agar orang yang tidak berpelajaran tinggi, tidak kerdil hati dan jiwanya. Berusahalah memperbaiki kehidupan dengan berniaga. Bantuan dari kerajaan saya kira melimpah ruah dan menunggu kita untuk menggunakannya. Kita tidak perlu malu dengan berniaga, hatta meniaga burger sekalipun. Ingatlah, kita bukan merompak kekayaan orang lain atau meminta-minta, kita mencari rezki dengan cara yang betul, mulia dan halal. Mereka yang berpelajaran juga, haruslah menyokong sesiapa yang ingin berniaga dan bekerja sendiri. Janganlah direndah-rendahkan keupayaan rakan-rakan dan adik-adik kita untuk berusaha sendiri. Galakkan mereka, beri semangat pada mereka, beri perangsang, dan sentiasa mengambil perhatian atas kerja mereka. Mereka yang bercita-cita menjadi usahawan, amat memerlukan sokongan moral yang tinggi terutama dari keluarganya pada setiap masa. Oleh itu kalau kita sayangkan mereka sudah tentu kita akan mengambil serius atas hasrat murni mereka untuk menjadi usahawan, seterusnya akan membantu dengan memantau perniagaan mereka hingga berjaya.

Dunia ini, kini, menjadi semakin sempit dan sesak. Namun kita harus percaya dan yakin sesungguhnya rezki Allah itu ada untuk kita. Yang diperlukan adalah USAHA kita untuk mencarinya. Tidak guna ada nasi satu dulang depan mata, jika tangan kita tidak mengambil dan menyuapnya ke mulut. Umpama kata ibarat “Ayam di kepok mati kelaparan, ikan dilaut mati kehausan”.( sudah tentu Encik Karam S. Walia lebih hebat dari saya dalam membuat ibarat ini).

Saya dengan rendah diri, memohon pembaca sekalian agar menolong mereka yang ingin berniaga dan bekerja sendiri, dengan berdasarkan keupayaan masing-masing. Janganlah mengkhianati cita-cita mereka, memomokkan dan menakutkan mereka dengan seribu satu kegagalan orang lain, tetapi berilah mereka semangat dengan memberi contoh mereka yang telah berjaya. Sesungguhnya kejayaan pada hari esok ditentukan oleh impian kita semalam dan usaha yang berlipat ganda hari ini.

Dan akhirnya, janganlah kita berebutkan ‘tulang’ yang mungkin ada sedikit daging yang tersisa, tetapi membiarkan sahaja seketul ‘daging mentah’ tanpa bercuit, dengan memberi alasan ianya belum dimasak!

Khamis, 12 Jun 2008

Kejujuran Tidak Ternilai

Pagi ini saya dikejutkan dengan panggilan dari seorang wanita. Beliau mengatakan bahawa beliau terjumpa dompet saya dan meminta saya datang ke kedainya untuk mengambilnya kembali. Ia memberi khabar gembira kerana saya memang sedang runsing memikirkan hal Kad Pengenalan,lesen memandu,kad bank serta dokumen lain yang ada didalamnya.

Sesampainya saya disana,pekerja-pekerja kedai itu (kedai baiki & servis kereta) memang menanti kedatangan saya dan dibawa berjumpa wanita itu. Nama beliau adalah Winnie( maaf jika tersilap tulis). Beliau mengatakan terjumpa dompet saya pagi tadi, tidak jauh dari kedainya dan mendapati kad bisnes saya ada didalam sekaligus menelefon saya. Saya amat tersentuh hati dan amat bersyukur, kerana masih ada manusia yang baik hatinya serta tinggi akhlaknya di Bumi Tercinta ini seperti Winnie dan rakan-rakannya.

Adapun saya juga sangat kagum terhadap sikap beliau. Ia bukan senang dilakukan, Percayalah!! Apabila kita mengambil sesuatu barang yang tercicir,yang kita tahu ia tidak datang sendiri melainkan ada tuan empunya, maka pertanggungjawaban itu ada diatas bahu kita, sehingga kita berjaya menemukan tuan empunya barang atau kita serahkan pada pihak berwajib.

Nilai murni ini yang diajar oleh ibubapa kita serta guru-guru kita, haruslah sentiasa diamalkan dalam kehidupan seharian. Ia juga merupakan salah satu elemen utama sifat seseorang Muslim.

Kejujuran tidak ternilai dan tiada sempadannya. Kejujuran tidak mengenal warna kulit, bangsa , agama serta pegangan. Tidak kira siapa pun mereka, jika mengamalkan sikap jujur, sudah tentu Allah akan menaikkan darjat serta kemulian mereka dan dipandang tinggi pula oleh masyarakat sekitarnya.

Kejujuran tidak ternilai, lebih-lebih pula ketika umat manusia semakin mementingkan diri sendiri dan tidak ambil kesah keadaan sekeliling. Ia sangat mahal di waktu ini dan di saat ini, umpama mencari sebutir beras di lautan pasir.

Hanya Allah jualah yang membalas kebaikan setiap manusia yang berlaku jujur sekaligus menjadikan bumi ini tempat yang lebih selesa dan aman sentosa untuk didiami oleh semua orang..


p/s:
(Terima kasih saya sekali lagi kepada Winnie dan rakan-rakannya di Win Auto Services,Danau Kota.Saya tidak akan lupakan jasa baik anda semua)

Rabu, 11 Jun 2008

Menyingkap Jatuh Bangun Dunia Islam

Kekuatan Islam dalam menyatukan seluruh masyarakat Muslim adalah dengan bersandarkan kepada 5 Prinsip dan tiang, iaitu- Kepercayaan Rukun-rukun dalam Islam, Syariah, Budaya, Ketelusan Ummah serta Keindahan Islam itu sendiri.


Penyatuan Ummah merupakan payung yang memayungi semua bangsa, puak, suku kaum dan melewati batas sempadan negara. Yang demikian, Ummah Muslim menjadi satu entiti dan tidak pula terpisah-pisah. Jika ada antara Muslim yang merintih sakit dan memerlukan pertolongan, maka dengan segera Ummah yang lain akan memberi pertolongan serta mendamaikan pula hatinya. Jika mana ada antara Ummah yang ditindas, maka ummah yang lain akan mempertahankannya hatta dengan nyawa sendiri sekalipun. Perpaduan dan persaudaraan yang ditunjukkan oleh Ummah ini telah diterjemahkan iaitu dengan hanya dalam tempoh 80 tahun, Islam telah menguasai kawasan yang sangat luas sehingga melebihi kekuasaan yang dimiliki oleh Empayar Rum, yang mana memerlukan 800 tahun untuk dibina.

Sudah tentu perluasan kuasa Ummah pada masa itu bukan berdasarkan tamak kuasa atau menghauskan darah seperti yang diceritakan oleh sesetengah sejarawan yang “buta kayu”. Besar perbezaannya antara Muslim yang berjuang memerdekakan manusia daripada golongan manusia yang hanya menghambakan orang lain. Ummah Muslim terkenal dengan keberanian melawan penjajah-penjajah serta tidak pernah gentar pada cabaran musuh. Mereka dengan sepenuh hati dan tenaga melawan habis-habisan pihak Tentera Salib yang ketika itu melancarkan “Perang Antarabangsa” yang berlarutan selama lebih kurang 2 dekad (489-690 A.H / 1096-1291 A.D) .


Juga orang-orang Islamlah yang berjaya mengalahkan puak Tatar dari tanah tinggi ‘Steppe’ dan seterusnya menukar status mereka kepada Muslim dan menjadi salah satu kuasa sekutu yang gagah dalam mempertahankan kesucian Islam dan kehormatan Ummah seluruhnya.


Pada tahun 897 A.H ( 1492 A.D) para Kolonial Eropah ( Penjajah atas nama Agama) telah menakluk dan memusnahkan Negara umat Islam bermula dengan Gharnatah ( Granada). Manakala tahun 1213 A.H ( 1798 A.D) pula Ummah dikejutkan dengan ‘kuda dan senapang’ Napoleon Bonaparte yang bergema di Mesir. Musibah yang lebih besar menjelma pada tahun 1342 A.H ( 1924 A.D) apabila kuasa Khilafah Islam yang berpusat di Istanbul ketika itu tumbang dan di lenyapkan oleh golongan tentera sekular yang diketuai oleh Kemal Ataturk. Dengan lenyapnya entiti Khilafah dan pemerintahan Khalifah, serta diburukkan dengan ‘trend’negara-negara Penjajah Eropah yang bercita-cita menjadi Tuan Besar supaya boleh menghamba manusia lain, negara-negara Umat Islam menjadi pecah belah akibat sengketa sesama sendiri. Masing-masing berjuang demi kemerdekaan secara bersendirian, hasil fahaman Nasionalisme yang ditanam oleh para Kolonial seterusnya melupakan Integriti dan Solidarity Ummah secara keseluruhan.


Ditengah keributan Umat Islam ketika itu, muncullah sebuah Negara yang diasaskan oleh Penjajah-penjajah Eropah tadi di Palestin. Ia diwujudkan demi mengelak Ummah Muslim daripada bersatu dan kembali menjadi kuat seperti dahulu sekaligus menyelesaikan masalah “Manusia Tanpa Tanahair” yang menjadi ‘KANSER’ pada mereka berabad lamanya. Maka tertubuhlah Negara Israel yang dipimpin oleh golongan Zionis yang amat memusuhi Islam serta Umatnya tidak berapa lama kemudian...


( Sumber berkaitan didapati dari buku 'History of Palestine' karangan Dr Mohsen Mohammed Saleh . )

Teringat Sebuah Sajak...

Pernahkah anda membaca buku "Mat Som"? Merupakan karya Datuk Lat, amat-amat saya minati. Tambahan pula ada di selitkan sajak menarik. Ini satu di antaranya .


SONGSANG



Maafkan Aku,
Kalau Aku Sering Saja Berlaku Songsang,
Terutama Di Perayaan Tahunan
Seperti Hari Ini..

Apabila Semua Orang Telah Sedia Duduk,
Aku Bangun berdiri..
Apabila Orang Bangun bertepuk,
Aku Duduk..
Apabila Orang Ghairah Berbincang,
Aku Tidur..
Apabila Orang Melepaskan Merpati,
Aku Menabur Padi..
Orang Lain Telah Merdeka,
Aku Belum..

Maafkan Aku
Kalau Aku Sering Saja Berlaku Songsang,
Aku Hanya
Ingin Mengingatkan...



` ------------------- Oleh :A. Latiff Mohidin ------------------------------

Jumaat, 6 Jun 2008

Kegagalan dan Kejayaan

Apakah makna sebenar kejayaan itu? Apa dan bagaimana pula takrif kegagalan? Saya sendiri tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan kepada semua pihak. Namun jika ditanya pendapat sendiri saya pantas mengatakan gagal adalah punca kejayaan..ia bkn 2 entiti berlainan atau berlawanan, ia adalah bersangkutan umpama aur dan tebing,isi dan kuku, ombak dan pantai, hidup dan mati...

Sebahagian rakan berkata, apabila kita lahir ke dunia maka kita adalah berjaya, manakala jika kita mati akibat keguguran adalah kegagalan. Lagi, jika kita tertawa, maka itu tanda berjaya, jika kita menangis itu tanda gagal. Saya bersetuju juga dengan nya dalam sesetengah hal. Namun kita perhatikan, setiap bayi yang lahir semua menangis- adakah ia satu kegagalan?Setiap ibu yang menangis mendoakan anaknya agar berjaya dalam peperiksaan- adakah ia juga tanda orang yang gagal?-tentu tidak! Ianya adalah satu keperluan mengikut faktor2 tertentu yang ditetapkan Allah.

kita perhatikan lagi, setiap satu sperma yang berjaya bercantum dgn ovum adalah kerana membabitkan 'kos'. 'Kos' disini adalah beribu2 sperma yang lain, yang mati semasa dalam perjalanan yang panjang menuju 'kejayaan' untuk mempersenyawakan ovum seterusnya membentuk segumpal darah-daging-tulang dan akhirnya menjadi manusia. Jadinya kita lahir adalah kerana matinya ''yang lain-lain'' itu.

Ia bukanlah sesuatu yang buruk, tapi ia adalah KEPERLUAN..Ya, untuk berjaya keperluannya adalah GAGAL! kita suka atau tidak, ia adalah realiti. Seorang bayi pasti tidak akan tahu berjalan jika ia tidak pernah jatuh dan tidak akan bertutur lancar jika tidak bertutur pelat terlebih dahulu. Ia adalah proses semulajadi. Kita tidak mencari ilmu jika kita tidak bodoh/jahil bukan? begitulah, kita tidak akan hidup kaya jika tidak merasa hidup miskin, tidak akan merasa sehat jika tidak pernah sakit, kita tidak akan membesar jika tidak ada 'kematian', dimana perlunya sel lama 'mati' dan diganti sel baru,dan lain-lain bukti lagi yang menjadi kemestian kejayaan itu berpunca dari kegagalan.

Mengenang hikmah kegagalan adalah lebih besar ertinya dari mengingati sesuatu kejayaan, kerana penghayatan keatas kegagalan itu akan membawa kepada kejayaan yang sangat besar di kemudian hari. Kita perlu berlapang dada jika ditimpakan kegagalan dan berusaha dengan lebih giat dan cergas selain membaiki kelemahan yang ada supaya kemudian akan terbit pula kejayaan.

Dan akhirnya, jika ditentukan pula kita masuk Syurga(*harap-harapnya dapat masuk lah), maka kita perlu menghadapi kematian terlebih dahulu barulah dapat masuk syurga. Kerana itulah hukum Allah yang telah ditetapkan ke atas setiap makhluk, dan hanya dengan cara ini sahaja maka barulah kita akan memperoleh kejayaan yang sebenar-benar kejayaan..Ianya bermula dengan kegagalan...

Isnin, 2 Jun 2008

Anugerah Cemerlang LZS 2007

Pada 31 mei yang lepas, saya dan zaki -rakan sekerja- telah pergi ke UniSel Btg Berjuntai( Bestari Jaya) untuk menghadiri majlis anugerah kecemerlangan LZS, kepada anak2 asnaf yg berjaya dalam peperiksaan tahun 2007.

Sebenarnya saya tidak minat sangat untuk pergi kerana kapasiti saya hanya sebagai pemerhati dan makan-makan sahaja. Ini saya kira melemaskan dan amat merimaskan! namun kerana Menteri Besar Selangor hadir sama( Tan Sri Dato' Khalid) maka terpaksa juga kami tunjuk muka. Tambahan pula diumpan dengan makanan yg best2 belaka, yalah..MB pun turun, sudah tentu meraikan MB menjadi hadaf utama majlis ini. Itu antara perkiraan saya lah!

Namun saya dapati ada perkara yang amat menyentuh hati sepanjang program ini berlangsung, dan menyebabkan ianya menjadi sebab saya bersyukur kehadrat Allah yang saya hadir pada hari itu. Pertama adalah kerana fasi kami antara penerima hadiah pada majlis itu. Iaitu Fairuz Alhafiz dan Zainuddin. Maka kami selaku perunding sudah tentu merasa bangga dan amat gembira atas kejayaan mereka. Sempat jugalah kami berjumpa rakan2 konsultan lain dan bertanya hal masing2 sementelahan tiada projek setakat nih. Manakala selebihnya pula di imarahkan dengan mengumpat dan mengutuk sakan sahaja adanya.


Perkara kedua ialah berkaitan dengan MB baru selangor. Kalau dahulu-tahun2 lepas- sering sahaja berlaku kekurangan makanan atas meja kami ( kami makan kat meja VIP tau), namun pada tahun ini terbalik pula, meja kami yang penuh makanan dan meja MB pula kosong!! giler apa? saya pun tak pasti..cuma nya yg kami lihat, MB baru tidak membawa bersama "langau-langau"..kalau tidak pastilah mcm tahun lepas, orang mereka saja yg ramai2 makan,kami makan kat luar sahaja. Ini saya kira satu pembaharuan yang di bawa oleh pemimpin keADILan. ( jgn salah sangka, saya tidak menyokong parti mereka!!), dan perubahan ini sudah tentu satu tindakan positif, yang saya lihat jika berkekalan mampu menjadikan mereka sebagai pemerintah untuk satu jangkamasa yang panjang.

Walau apapun, pada majlis itu saya amat terharu apabila tiba-tiba disapa oleh seorang pelajar yang menerima anugerah. Beliau salam tangan saya sambil mengucapkan terima kasih berkali-kali. Bingung juga saya dibuatnya.."Entah anak siapa pula ni?" fikir saya. Namun beliau menjelaskan bahawa beliau adalah bekas peserta program saya, dan saya - semasa program itu dahulu- telah memarahi serta mendenda beliau atas beberapa kesalahan. Beliau berterima kasih atas "perhatian" yang saya berikan dan berharap dapat pergi lagi program kami. Saya menasihatkan beliau supaya berusaha dengan lebih kuat dan mudah-mudahan terus berjaya.

Saya menulis perkara ini bukan mencari populariti atau ingin mengatakan saya hebat, TIDAK!! Namun saya tulis adalah demi mengingatkan diri sendiri dan diri pembaca sekalian. Jika orang seperti saya yang pernah di gelar 'puaka' atau 'jahat' oleh sebahagian peserta program, mampu mendapat ucapan terima kasih mereka, saya pasti anda yang tidak pernah mendapat jolokan dan gelaran buruk seperti itu, mampu dan boleh mendapat penghargaan yang lebih dari itu.

Kita berada pada zaman yang amat memenatkan dan amat menjelikkan. Dimana pada hari ini manusia dinilai pada "kertas2" yang dimilikinya, kereta2 yang besar, rumah yang besar serta kemampuan untuk berbelanja. Manusia hanya pentingkan diri sendiri dan tidak reflek pada persekitarannya. "Biar pergi jahanam dengan budak2 yang bermasalah dan suka membuat kacau ini, dia bukan anak kita / adik kita!!" ialah antara kata2 yg "sedap" didengar kita. Ini adalah jawapan mudah demi mengelak rasa bersalah kita. Namun sikap seperti inilah yang akhirnya menjadikan remaja2 kita rosak akhlaknya, punah harga dirinya, rendah maruahnya serta jahil agamanya, sedang merekalah yang bakal menerajui bumi Allah ini pada masa akan datang.

Saya menyeru kepada pembaca-pembaca budiman supaya mengambil bahagian dalam menjadikan anak-anak muda kita berjaya menjadi 'manusia', seperti yang diharapkan oleh Allah dan RasulNya. Mudah-mudahan anak-anak muda kita ini, kelak tidak menyalahkan kita, atas kelalaian dan kegagalan kita menegur mereka serta menjadikan pula ia sebagai alasan mereka, apabila dihadap di Mahkamah Allah nanti...