Khamis, 24 Julai 2008

Kemiskinan Bukan Lesen Untuk diHina

Sudah berabad rasanya saya tak menulis di blog ini. Jangan kata ingin update, nak akses internet pun tiada masa. Kerja saya yang sering keluar daerah memang satu yang memenatkan namun tak boleh dielakkan..yelah, kalau tak bekerja, nak makan apa pula nanti(ini bukan kes ulat dalam batu pun boleh hidup, saya bukan ulat). Oleh yang demikian diharapkan rakan sekalian usah bimbang, kerana saya masih menulis dan tidak bercadang berhenti menulis di blog.

Baru-baru ini saya berpeluang pergi ke satu pejabat yang bertanggungjawab menguruskan mengenai pemberian bantuan kewangan kepada gologan fakir miskin. Sementelahan juga saya terlibat dalam menjalankan program yang dirancang oleh mereka.

Apa yang menarik perhatian saya adalah berkenaan staff yang bertugas disitu(nama dirahsiakan atas dasar aib). Semasa saya datang kesitu atas urusan kerja, saya seolah-olah tidak ada(ghaib). Tiada seorang pun yang menegur saya bahkan lebih teruk tiada yang memandang saya pun!!alahai..terasa benar kehinaan yang ditanggung..sehinggalah saya sendiri yang bertanya kepada mereka, barulah mereka melihat muka saya dan itupun dengan muka yang tak berapa ‘ceria’, ala kadar je..

Setelah saya beritahu mereka yang kehadiran saya adalah berkaitan program yang ingin dilaksanakan, barulah mereka bersungguh-sungguh melayan saya dan mempersilakan saya duduk. Sungguh hairan, kenapa pula tiba-tiba berubah perangai. Tadi buat-buat tak kenal, sekarang pula dilayan baik. Namun akhirnya saya dapat juga jawapannya. Sementara menunggu giliran untuk berjumpa pegawai bertugas, ada beberapa orang yang datang kesitu, dan seperti juga saya pada awalnya, mereka tidak dilayan atau pura-pura tidak kelihatan..dan ternyata mereka yang datang itu adalah golongan yang ingin minta bantuan. Staff bertugas hanya memandang sinis sahaja mereka dan bersikap acuh tak acuh sahaja.

Terperanjat saya, melihatkan begitu teruk penghinaan yang ditanggung oleh mereka. Saya merasa amat marah sehingga terasa mahu memarahi staff itu. Namun saya sabarkan hati dan berusaha membuat ayat nasehat dan teguran yang membina agar boleh diberikan pada staff terbabit. Setelah urusan saya selesai, barulah saya berkesempatan memberi ceramah pada staff itu dan memberitahu beliau, jika inilah perangai nya, maka baik berhenti sahajalah!

Pada pandangan saya, staff itu telah melakukan kesalahan tatatertib dan tidak jujur pada amanah yang telah diberikan padanya. Ini kerana : 1- beliau tidak mengalu-alukan sesiapa pun yang datang ke pejabat itu melainkan setelah dapat tahu siapa mereka sebenarnya. 2- terbit rasa angkuh dan megah atas jawatan yang dipegang. Beliau kira tanpa beliau, si miskin ini pastilah terus melarat dan ini menyebabkan beliau rasa beliau perlu diagungkan!!

Sesungguhnya kita telah berlaku zalim jika tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dalam hal ini, jika yang hadir adalah golongan fakir miskin maka adalah menjadi HAK mereka untuk mendapatkan bantuan yang secukupnya dari pihak terbabit. Mereka bukan golongan kelas bawah atau tiada kelas, Cuma keperluan hidup mereka tidak cukup!

Tiada manusia dilahirkan hina dan tiada sesiapa yang patut rasa mereka lebih mulia dari orang lain hanya bersandarkan kewangan dan harta benda. Dosa besar jika kita merasakan golongan miskin adalah beban yang perlu ditanggung atau ‘biawak’ yang perlu dibela. Tiada sesiapa mahu dilahirkan papa kedana dan tiada siapa tidak mahu hidup senang. Namun dengan menganggap kita lebih baik dari orang lain hanya kerana orang itu miskin adalah satu perasaan keji dan amat hina.

Bolehkah kita membayangkan jika kita mempunyai anak ramai, dan kerja pula tidak cukup makan. Tambah pula isteri tak bekerja dan anak-anak semua sekolah lagi. Satu hari kita kemalangan dan meninggal dunia. Apa akan berlaku pada anak dan isteri kita?kemana mereka mengadu nasib dan hidup? Apakah kita menyangka bahawa kita akan sentiasa kaya dan kekal hidup selamanya?apakah kita merasakan yang miskin, tidak mampu dan papa kedana itu orang lain dan ia mustahil berlaku pada kita?siapa pula yang dapat memberi jaminan ini?

Persoalan yang besar ini saya kira amat berat untuk kita fikirkan. Namun apa yang kita harapkan ialah mereka-mereka yang miskin tidak dizalimi hak mereka dan supaya mereka diberi penghormatan atas dasar kita adalah manusia biasa. Sesungguhnya mereka juga ada maruah dan kehormatan. Tidakkah kita ini zalim orangnya jika kita merendah-rendahkan mereka dan menghina mereka? Amat besar tanggungjawab mereka yang berada dalam institusi berkenaan. Bukan sekadar bekerja mencari nafkah, lebih dari itu adalah berusaha membantu golongan yang memerlukan, kerana siapa tahu, mungkin satu hari nanti, kita atau keluarga kitalah orang yang memerlukan itu.

Saya tidak menulis untuk menghina atau mengaibkan sesiapa dan mana-mana pihak. Saya tidak membuat fitnah atau mahu menambah fitnah yang semakin berleluasa sekarang. ia hanya satu pengalaman hidup saya dan terjadi atas diri saya. Ini adalah satu pengajaran yang sepatutnya kita sama-sama renungkan. Tiadalah hina seseorang berdasarkan hartanya, tetapi hinanya seseorang adalah kerana khianat pada amanah dan tidak berlaku adil pada sesama manusia.

Saya mengharapkan agar Allah menjauhkan kita semua dari segala sifat keji ,busuk hati serta angkuh, yang akhirnya, ia akan merendahkan martabat dan maruah diri kita sendiri...