Jumaat, 13 Jun 2008

Antara Daging dan Tulang

( tulisan ini merupakan satu ‘rayuan’ saya kepada pembaca-pembaca sekalian)


Sering sahaja kita ( terutama orang Melayu) apabila ingin berniaga atau bekerja sendiri mendapat bantahan atau tentangan keluarga. Alasannya tiada pencen, tiada kemudahan rawatan dan lain-lain sebab, yang sangat banyak jumlahnya kalau dihimpun.

“ Buat apa susah-susah nak kerja sendiri? ko ada modal ke? , makan gaji dengan gomen(kerajaan) sudahlah..Untung apa?.elaun dapat, pencen ada, loan kereta dengan rumah pun senang”

Ya, saya setuju juga pendapat ini. Namun saya kira ungkapan seperti ini tidak membantu bangsa kita untuk berdiri setanding dengan rakan-rakan dari bangsa lain di Malaysia. Orang yang mengatakan seperti ini telah “ membunuh secara terang-terangan” impian anak bangsanya yang ingin berusaha atas kaki sendiri, serta menyebabkan kita menjadi golongan yang kecil hatinya, rendah daya saing, lemah semangat dan terbatas impiannya.

Secara tidak langsung, kita sebenarnya mengharapkan agar anak bangsa kita mencontohi kucing. Biarkan tunggu sahaja tuan kita habis makan, nanti mesti dapat makanan juga. Kalau nasib baik, tulang yang diberi ada sedikit daging!

Saya tidak menulis ini dengan tujuan menghina atau merendahkan mana-mana binatang, sementelahan mereka juga makhluk ciptaan Allah. Dan tiada niat sama sekali menghina atau merendahkan mereka yang bekerja di sektor kerajaan (keluarga saya juga ramai yang bekerja kerajaan). Bahkan saya bersyukur dan berterima kasih pada mereka kerana bekerja bersungguh-sungguh demi kebaikan rakyat. Tanpa mereka yang bekerja dengan kerajaan sudah pasti kerajaan akan lumpuh dan negara huru-hara bukan?

Namun saya menulis artikel ini demi ‘merayu’ pada pembaca-pembaca budiman semua, agar anak-anak muda yang ingin bekerja sendiri dibantu dari aspek psikologi, diberikan semangat, diberikan nasihat, serta dihulurkan bantuan yang mana perlu. Dorongan dari keluarga, rakan-rakan dan masyarakat seluruhnya, mampu mengubah mentaliti kita agar tidak mengharapkan makanan hanya pada satu dulang sahaja, sedang banyak lagi dulang yang penuh makanan, menunggu kita untuk mengambilnya.

Kita tidak akan berjaya mencapai kejayaan jika kita tidak menguasai perasaan takut kepada kegagalan. Kenapa kita mesti takut? Sedang kita belum mencubanya. Adakah begitu kerdil dan rendah dirinya kita sehingga menganggap bahawa dengan bekerja sendiri dan berniaga, kita akan miskin dan tidak mampu menyara keluarga? Mengapa kita tidak menghayati kata-kata Rasulullah S.A.W yang memberitahu kita, bahawa 9/10 punca rezki adalah dengan berniaga dan berdagang? Bukankah orang Melayu juga sama tarafnya dengan semua manusia yang ada di muka bumi ini?

Saya mengharapkan agar orang yang tidak berpelajaran tinggi, tidak kerdil hati dan jiwanya. Berusahalah memperbaiki kehidupan dengan berniaga. Bantuan dari kerajaan saya kira melimpah ruah dan menunggu kita untuk menggunakannya. Kita tidak perlu malu dengan berniaga, hatta meniaga burger sekalipun. Ingatlah, kita bukan merompak kekayaan orang lain atau meminta-minta, kita mencari rezki dengan cara yang betul, mulia dan halal. Mereka yang berpelajaran juga, haruslah menyokong sesiapa yang ingin berniaga dan bekerja sendiri. Janganlah direndah-rendahkan keupayaan rakan-rakan dan adik-adik kita untuk berusaha sendiri. Galakkan mereka, beri semangat pada mereka, beri perangsang, dan sentiasa mengambil perhatian atas kerja mereka. Mereka yang bercita-cita menjadi usahawan, amat memerlukan sokongan moral yang tinggi terutama dari keluarganya pada setiap masa. Oleh itu kalau kita sayangkan mereka sudah tentu kita akan mengambil serius atas hasrat murni mereka untuk menjadi usahawan, seterusnya akan membantu dengan memantau perniagaan mereka hingga berjaya.

Dunia ini, kini, menjadi semakin sempit dan sesak. Namun kita harus percaya dan yakin sesungguhnya rezki Allah itu ada untuk kita. Yang diperlukan adalah USAHA kita untuk mencarinya. Tidak guna ada nasi satu dulang depan mata, jika tangan kita tidak mengambil dan menyuapnya ke mulut. Umpama kata ibarat “Ayam di kepok mati kelaparan, ikan dilaut mati kehausan”.( sudah tentu Encik Karam S. Walia lebih hebat dari saya dalam membuat ibarat ini).

Saya dengan rendah diri, memohon pembaca sekalian agar menolong mereka yang ingin berniaga dan bekerja sendiri, dengan berdasarkan keupayaan masing-masing. Janganlah mengkhianati cita-cita mereka, memomokkan dan menakutkan mereka dengan seribu satu kegagalan orang lain, tetapi berilah mereka semangat dengan memberi contoh mereka yang telah berjaya. Sesungguhnya kejayaan pada hari esok ditentukan oleh impian kita semalam dan usaha yang berlipat ganda hari ini.

Dan akhirnya, janganlah kita berebutkan ‘tulang’ yang mungkin ada sedikit daging yang tersisa, tetapi membiarkan sahaja seketul ‘daging mentah’ tanpa bercuit, dengan memberi alasan ianya belum dimasak!

12 ulasan:

azlishukri berkata...

saya sokong tulisan saudara ni..kalau boleh sama-sama kita membantu golongan ini.

Hawk Tan berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Hawk Tan berkata...

Apa khabar Adik?
Sebenarnya your blog article very educating. My verdit: EXCELLENT
Oh yeah,
Satu perkara lagi..abang nak belanja adik tengok wayang. 6 tiket cukup? Adik boleh mengambilmya di GSC Cheras Leisure Mall pada bila bila masa, tapi kena bagi abang 1 day advance. ok.
you deserve it.

joharihamzah berkata...

Saudara Azli,

Harap-harapnya kita akan berjaya menanamkan semangat baru dalam diri masyarakat agar berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam kehidupan seharian.

joharihamzah berkata...

Abang Daniel,

terima kasih atas kebaikan hati abg memberi saya tiket free..(wah bukan sikit tau, 6 keping!)

Tapi buat masa ini saya memang tiada masa untuk menonton wayang, kerja banyak dan kadang-kadang 2-3 hari pula menyertai program.

Saya harap abg daniel tak salah anggap pada saya- seolah saya sombong pula. Saya hormat Abang Daniel macam abang saya sendiri.

Saya akan terus sokong abang Daniel dalam usaha murni abang dan akan selalu memberi pendapat dan cadangan melalui tulisan di blog- InsyaAllah.

I'm so sorry for not able to fulfilled your wish. You are so kind and i am touch by your generosity. I wish i will be more like you.

Salam Mesra…

uncleyatim berkata...

Sering sahaja kita ( terutama orang Melayu) apabila ingin berniaga atau bekerja sendiri mendapat bantahan atau tentangan keluarga.

Artikel ni uncle suka ..... ada baiknya juga jo ulaskan juga mengapa keadaan ini berlaku? uncle ada pandangan mengapa ini berlaku... cuma nak tahu pandangan jo... kita bincang bila kita berjumpa nanti....ok

Hawk Tan berkata...

Adik,
No problem...kalau ada masa dan teringin nak menonton, just bug me ok. the invitation is always open.
salam mesra.

azlishukri berkata...

salam, saya sudah link blog saudara dengan blog saya, harap maklum.

NieZearm berkata...

Elok klau dapat kita kongsi idea ni. tak rugi pun..

kuanderas berkata...

Saudara Johari,
Halangan-halangan awal apabila kita ingin berniaga adalah disebabkan sikap, reaksi & persepsi terhadap kegagalan.Sedangkan :-

1.Kegagalan adalah sebahagian daripada langkah untuk berjaya.

2.Kegagalan adalah pendidikan.

3.Kegagalan akan melahirkan sifat-sifat terbaik daripada kita.

4.Sifat takut gagal akan menyebabkan bakat terbazir begitu sahaja.

Saya juga ingin berkongsi bahawa saya telah terserempak ramai jutawan senyap melalui perniagaan seperti:-
1.Insuran
2.Amanah saham (unit trust)
3.Penjual kain
4.Pembekal makanan beku

Teruskan penulisan & teguran.

Letting the time pass me by berkata...

Tulisan yang baik...

berniaga nie memang memerlukan semangat.. Pandangan saya...

sukar untuk orang-orang memberikan kita semangat.. semangat kena datang dari dalam hati kita, dari dalam keazamana kita untuk melihat sendiri kejayaan...

Saya tidak banyak melihat rakan-rakan yang benar-benar sanggup nak menolong kita, hanya Ibubapa dan keluarga kita yang selalunya menjadi pendorong No. 1... yang lainnya mungkin akan memberikan pelbagai kritikan dan komen..

Komen dan kritikan boleh jadi positif atau negatif.. tetapi yang paling penting, kita kena teruskan semangat dan usaha.. Jangan sekali-kali mengharapkan orang lain untuk mendorong kita... Kita sendiri mestilah mendorong diri kita sendiri untuk berjaya...

Tapi kalau boleh tolong, memangla kita nak tengok orang melayu maju...

Bro... minat instrumental ke.. http://www.youtube.com/watch?v=oLFgbghgbh0

joharihamzah berkata...

terima kasih atas semua komentar sahabat-sahabat semua.

Saya juga bersetuju dengan cadangan dan pandangan yang diberikan. Malah memberi saya input menarik dan mungkin boleh dibuat tajuk perbincangan blog.

Kebelakangan nih sibuk sedikit, kerja melambak..Insya-Allah nanti saya ulas di blog sahabat-sahabat semua..

TQ.