Ahad, 22 Jun 2008

Catatan Diari Anak FELDA

Saya dibesarkan oleh datuk di sebuah Tanah Rancangan Felda, di selatan tanahair. Melihatkan rumah yang kami diami sekarang, saya terkenangkan hidup kami sekeluarga pada 20 tahun yang lepas.

FELDA ( Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) diasaskan pada 1 julai 1956 oleh Dato’ Razak (Tun Abdul Razak). Ia ditubuhkan dengan tujuan membantu golongan luar bandar yang hidup miskin, sekaligus membangunkan sektor perladangan berskala besar. Setiap peneroka FELDA diberi 10 ekar tanah pertanian dan suku ekar tanah untuk pembinaan rumah. Sehingga kini FELDA telah menjadi sebuah organisasi “raksasa” dengan keluasan tanah pertanian mencapai 2 juta ekar (800 000 hektar). Ia juga menjadi pengeluar minyak sawit utama dunia dan penyumbang kedua terbesar pendapatan negara selain Petronas.

Teringat dahulu membantu datuk di ladang. Ketika menyabit sawit, datuk akan suruh saya dan nenek diri jauh-jauh, takut nanti kena hempap pelepah sawit. Bukan sedikit bilangan peneroka yang mati dihempap kelapa sawit dan pelepahnya. Namun demi sesuap nasi, kerja mesti dilakukan. Saya akan menyorok dibelakang nenek setiap kali datuk menyabit. Habis menyabit, barulah saya membantu dengan memungut biji lerai yang bertebaran di sekeliling pokok. Memungut biji sawit memang kerja yang senang, tapi memenatkan dan berbahaya pula. Banyak kali juga saya terpegang ular yang sedang nyenyak tidur di celah-celah dahan sawit dan di lubang-lubang yang menjadi sarang mereka.

Saya juga membantu nenek mengambil air di sungai untuk bekal minum dan masakan. Kerana bekalan air paip belum ada ketika itu. Kami sekampung memang menjaga sungai supaya sentiasa bersih dan boleh digunakan untuk kegunaan harian. Waktu petang begini memang waktu kaum ibu berkumpul sambil ‘bergosip’ dan bercerita tentang kampong asal masing-masing. Manakala kami pula sibuk mandi dan bermain sakan sahaja.

Waktu malam adalah waktu yang amat dinantikan, kerana boleh menonton TV di rumah ketua blok. Ini kerana TV menggunakan kuasa bateri dan tidak boleh membazir, jadi hanya dipasang di waktu malam. Di kampong kami, hanya 4 buah rumah sahaja yang ada TV dan itupun hitam putih je..jadilah..saya yang ketika itu kanak-kanak riang, memang antara orang pertama sampai rumah ketua blok bersama rakan-rakan lain. Cerita apa yang di tonton tak tau pula, (dah tak ingat) yang syok adalah dapat tengok peti kayu yang boleh keluarkan gambar dan suara- Hebat!

Antara kenangan ‘kelakar’ saya adalah ketika makan malam bersama datuk dan nenek. Di bawah samar-samar lampu minyak tanah, saya ternampak ada satu ‘tulang ikan’ besar dilantai. Dahulu saya memang suka meratah tulang (sekarang pun), lalu saya cekut tulang itu dan ingin suap ke mulut. Belum sempat masuk mulut, ‘tulang’ itu bergerak-gerak dan mengledeng -kata orang kampong saya. Rupa-rupanya ia adalah lipan! Nasib baik nenek perasan lalu ditepis tangan saya sekuat hatinya. Kalau tidak mungkin arwah saya malam itu..haha..ngeri betul waktu tuh, namun kelakar pula bila teringat sekarang ini..

Walau sehebat mana rintangan yang dihadapi, walau sepayah mana kehidupan dilalui, namun saya tidak pernah melihat datuk dan nenek mengeluh dan meratap dalam mengharung kepayahan hidup. Mereka, seperti mana juga keluarga peneroka yang lain, mengharung hidup dengan tabah dan penuh sabar. Datuk sering mengingatkan agar saya belajar bersungguh-sungguh dan menjadi manusia berguna bila besar nanti. Mereka telah berkorban hidup demi Tanah Rancangan ini, dan menjadikan cita-cita Tun Razak menjadi kenyataan.

Hari ini, melihat rumah batu yang kami diami sekarang dan segala kemudahan asas yang cukup, saya amat terharu dan berterima kasih pada FELDA dan Allahyarham Tun Razak, atas visi besarnya dan usaha yang gigih dalam mengubah kehidupan rakyat luar bandar. Ia adalah antara gagasan kerajaan yang berjaya dilaksanakan dan memberi manfaat kepada lebih 112 000 keluarga di seluruh negara.

Saya juga menyedari, masih banyak lagi yang perlu dibuat FELDA dalam membantu golongan peneroka dan generasi penerus mereka, namun usaha ini akan gagal jika tiada perancangan rapi dan usaha yang bersungguh-sungguh dari semua pihak.

Demikian kita lihat, dengan visi yang besar, keyakinan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh kita mampu untuk mengubah kehidupan agar menjadi lebih baik. Kita boleh menjadikan sesuatu yang difikirkan mustahil pada awalnya - menjadi realiti. Meminjam kata-kata Tun Dr mahathir, “Hanya mereka yang cekal dan tabah, akan berjaya” – Insya-Allah…

2 ulasan:

Hawk Tan berkata...

Tu sebab abang suka dan bangga sangat dengan adik.
Ikhlas dan tidak sombong.
Tidak pernah lupa daratan.
Zaman abang dulu berbeza sedikit cuma duduk dirumah berek polis kerajaan.Perangai macam setan, hahaha, tapi teman teman sekolah semua kebanyakan macam adik.Punyalah happy bila masa musim buah.
Abang berharap adik akan menjadi seorang yang amat berjaya dan sentiasa sihat selalu.

joharihamzah berkata...

haha..
kelakar juga teringat zaman kanak-kanak dulu..

kalau duduk di berek polis mesti diasuh dgn disiplin ketat kan? patutlah abg Daniel jadi orang yang berjaya sekarang..